Tsunami: 75 wartawan Indonesia terkorban, 25 hilang

Pauline Puah        

Sejumlah 75 wartawan Indonesia terkorban dalam bencana Tsunami yang melanda Aceh manakala 25 lagi masih hilang, demikian menurut Presiden Aliansi Jurnalis Independen (AJI) Indonesia, Eddy Suprapto.

Ketika dihubungi melalui telefon semalam, beliau berkata tiga daripada wartawan yang terkorban dan lima yang masih hilang itu, adalah ahli aliansi tersebut.

Menurutnya lagi, hampir kesemua wartawan yang terkorban dalam bencana 26 Disember lalu adalah keturunan Aceh.

AJI, yang menjadi ahli gabungan Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ), telah mewujudkan pusat di Aceh untuk mengikuti dan mengawasi situasi terkini mengenai ahli-ahlinya di sana.

Suprapto juga merungut kerana kerajaan Indonesia tidak mampu menyediakan maklumat yang mencukupi kepada pihak media mengenai situasi sebenar di wilayah tersebut, yang musnah selepas dilanda bencana tsunami.

"Kami terpaksa mendapatkan maklumat daripada rangkaian kami sendiri. Kerajaan Indonesia tidak mampu langsung untuk mengendalikan situasi itu.

"Kepimpinan Indonesia tidak cukup kuat. Mereka juga tidak mempunyai pengalaman dalam mengendali bencana. Responnya begitu lambat...semakin ramai mangsa yang meninggal dunia kerana ketidakcekapan tersebut," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kecuali masalah logistik, wartawan tempat dan antarabangsa tidak mempunyai masalah untuk pergi ke Aceh dan membuat liputan mengenai tragedi tersebut.

"Wartawan bebas membuat liputan apa juga berita yang mereka mahu," tambahnya.

Mayat bergelimpangan

Suprapto juga menafikan laporan media mengenai penguasaan tentera Indonesia di wilayah yang dilanda bencana itu di mana puak pemisah berjuang untuk kemerdekaan.

"Saya tidak fikir media Barat tahu apa yang sedang berlaku di Aceh sekarang. Situasinya amat berbeza sekarang," kata Suprapto yang juga seorang wartawan yang pernah diculik oleh puak pemisah ketika membuat liputan mengenai konflik bersenjata di wilayah itu tahun lalu.

Beliau kemudiannya dibebaskan oleh puak pemisah tanpa sebarang kecederaan.

Suprapto, yang tiba di Aceh dua hari lalu selepas wilayah itu dilanda ombak tsunami, turut menceritakan pengalamannya ketika sampai ke sana.

"Saya terhidu bau mayat sebaik sahaja tiba di lapangan terbang. Situasinya kini masih buruk dan anda boleh melihat mayat bergelimpangan di jalanraya," katanya.

Dalam satu lagi perkembangan, akhbar Jakarta Post melaporkan sekurang-kurangnya 1,000 orang guru hilang di Aceh dan lebih 50 peratus bangunan sekolah musnah.

Ketua Pengarah Pendidikan Rendah dan Menengah Indonesia, Indra Jati Sidi dilaporkan sebagai berkata pihaknya belum dapat menentu keadaan kira-kira 140,000 sekolah rendah dan 20,000 sekolah menengah rendah di sana.

Menurut Kementerian Kesihatan Indonesia, sekurang-kurangnya 94,000 orang terkorban di Aceh selepas dilanda bencana Tsunami.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In