Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, Vida Beauty Sdn Bhd yang popular dengan produk kecantikan Qu Puteh mengambil inisiatif mengurangkan harga produk mereka bagi memberi peluang kepada masyarakat membeli produk berkenaan.

Ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Seri Hasmiza Othman berkata, beliau menurunkan harga produk berkenaan yang sebelum ini berharga RM268 kepada RM168 kerana menyedari bahawa kos sara hidup semakin tinggi.

“Saya tahu ekonomi, kos semakin meninggi. Sebab itu saya turunkan harga Qu Puteh daripada RM268 menjadi RM168.

"Tak apalah saya kurangkan sikit kos iklan saya. Saya bagi pada anda,” kata Hasmiza yang lebih dikenali dengan panggilan Datuk Vida kepada Malaysiakini .

Selain Qu Puteh, produk lain yang dihasilkan syarikatnya ialah minuman kesihatan Pamoga.

Dengan nada ceria, Hasmiza yang mengenakan baju dan tudung serba biru serta tiara di kepalanya juga memberitahu, beliau kini sedang membuat perancangan untuk membantu masyarakat yang ingin menjadi usahawan seperti dirinya.

Menceritakan perkara itu, Hasmiza berkata beliau merancang untuk memberi peluang kepada masyarakat menjana pendapatan apabila menyedari keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan ketika ini.

Perkara itu bagaimanapun akan diumumkan pada penghujung Januari ini.

“Tunggu. Ada benda saya nak kongsikan. Bila buat benda ini, baru anda boleh berjaya dengan cara anda dan boleh tambah pendapatan dan jana ekonomi,” kata wanita berusia 44 tahun itu.

Pernah bergolok gadai

Ketika diajukan soalan tentang sesetengah pihak yang hanya mengharapkan wang bantuan dalam perniagaan, usahawan dari Machang, Kelantan itu menasihatkan supaya setiap individu berusaha sendiri terlebih dahulu sebelum menerima bantuan kewangan.

Malah, usahawan yang popular dengan slogan “Qu Puteh, Qu Puteh, barulah putih” itu juga menasihatkan kepada para peniaga supaya jangan mengamalkan sikap suka menangguh untuk membayar hutang.

Jelas usahawan yang semakin dikenali itu, ia penting bagi memastikan setiap perolehan daripada barangan dijual dapat dibuat pusingan untuk membeli barangan yang lain.

“(Hanya mengharapkan bantuan) itu salah. Saya dulu bergolok-bergadai nak beli sesuatu barang. Jangan senang dengan duit yang orang bagi.

“Jangan tak bayar hutang. Bayar. Kadang-kadang kita tak nak bayar hutang, nak tunggu dan buat pinjaman. Bayar hutang dulu dan bila ada duit pinjaman jangan habis untuk keperluan kita, jangan guna untuk ubah suai kedai.

“Guna betul-betul untuk buat pusingan serta untuk dikembangkan dan diperluaskan lagi perniagaan,” jelas Hasmiza bersemangat.

Sehubungan itu, Hasmiza yang juga merupakan bekas guru menasihati masyarakat yang baru berjinak dalam dunia perniagaan supaya kreatif dan mencari kelainan serta sentiasa berdoa.

“Teruskan usaha. Jangan tangguh untuk buat sesuatu. Jadi kreatif untuk buat kelainan. Buat barang yang baik dan berkualiti, insya-Allah berjaya.

“Doa, solat lebih. Sentiasa berdoa dan minta kita dilindungi dan di rahmati Allah,” ujar Hasmiza.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS