Menteri beri ‘kuliah kewartawanan’ kepada media
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak sekali lagi memberi ‘kuliah kewartawanan’ kepada media dengan memetik titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Walaupun titah baginda meyentuh mengenai kredibiliti agensi media dan komunikasi milik negara semakin dipertikaikan, Salleh pula memilih memberi peringatan kepada media arus perdana dan alternatif terhadap menyiarkan laporan berita yang berat sebelah.
“Ini adalah peringatan yang sangat tepat pada masanya daripada sultan dan adalah sesuatu yang kedua-dua arus perdana dan alternatif media perlu ambil perhatian.
“Oleh itu adalah perlu kita mendengar nasihat daripada sultan dan memastikan media membantu dalam pembangunan negara dan bukan sebaliknya, kata beliau dalam blognya malam tadi.
“Media perlu bertanggungjawab dalam mengendalikan operasinya sendiri kerana apa yang diterbitkannya boleh mempengaruhi orang ramai dan membentuk pendapat umum.
“Menyebarkan berita palsu atau diputarbelitkan boleh memberi keputusan yang amat buruk dan mencetuskan konflik,” katanya.
Beliau juga mengulangi kecamannya terhadap media yang didakwanya menyalah-lapor isu-isu yang menyebabkan konflik perkauman dan memuji kerajaan kerana bertindak dengan cepat menanganinya.
“Akhir-akhir ini kita telah melihat berita tidak tepat yang diterbitkan membawa negara ini ke ambang konflik perkauman.
“Hanya tindakan pantas oleh pihak berkuasa berjaya mengelakkan apa yang boleh mengakibatkan pertumpahan darah itu,” katanya.
Sultan Nazrin ketika merasmikan Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Ipoh, Sabtu lalu berkata dunia sedang menyaksikan perkembangan demokrasi digital, warga siber serta e-kerajaan dan warga dunia kini mempunyai pilihan untuk mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber.
Titah baginda warga dunia kini berada dalam posisi yang memiliki kelebihan untuk melakukan perbandingan serta bersifat lebih analitis dan kritis terhadap sesuatu laporan atau kenyataan.
"Maklumat kini tidak lagi terbatas kepada sumber yang ditapis dan dikawal oleh pihak berkuasa," titah Sultan Nazrin.
Titah baginda media baru kini bukan sahaja semakin berada di pentas utama, sebaliknya semakin memperlihatkan peranan mencanai minda dan mempengaruhi pendirian warga di serata dunia
"Era institusi penyiaran milik negara berada di puncak tertinggi telah sampai ke ruang senja,” titahnya.

