Najib hina kepintaran Melayu dengan 'ancaman DAP'
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan penyebar propaganda Umno menghina orang Melayu dengan menndakwa bahawa mereka akan hilang kuasa politik kepada DAP dan orang Cina sekiranya Umno tumbang pada pilihan raya umum akan datang.
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata ini jelas menunjukkan Najib dan kumpulannya meragui kebijaksanaan dan keupayaan orang Melayu.
Kerajaan, kata Lim cuba mengalihkan perhatian negara dengan menutup isu kemasukan RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib dan skandal 1MDB yang sarat hutang.
"Kempen melulu dan tidak berasas digunakan untuk memburukkan DAP sebagai anti Melayu dan anti Islam dan amaran bahawa pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan menjadi satu pertempuran antara Umno dan DAP untuk menentukan survival kuasa politik orang Melayu.
"Terdapat rancangan besar untuk meningkatkan kempen dalam dua setengah tahun akan datang, sebelum pilihan raya umum akan datang," kata Lim pada majlis makan malam 'Mana RM2.6 bilion/' di Senawang, Negeri Sembilan, malam semalam.
"Najib dan propaganda Umno menganggap orang Melayu seperti memiliki darjah kecerdasan (IQ) yang sangat rendah, tidak mempunyai kebijaksanaan dan kemampuan untuk membezakan fakta daripada fiksyen, kebenaran dengan penipuan, dan boleh dengan mudah tertipu untuk mempercayai desas-desus itu," kata Lim.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, pilihan raya akan datang tidak akan menjadi pertempuran antara Umno dan DAP, tetapi antara BN yang diketuai Umno dan gabungan Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH).
Beliau mengulangi bahawa DAP tidak pernah menjadi parti Cina sejak awal dan parti itu tetap komited kepada prinsip dan wawasan sebagai sebuah parti untuk rakyat Malaysia.

