Kepimpinan baru MTUC berikrar akan lebih lantang bersuara
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) G Rajasekaran mahu melepaskan jawatan tersebut, tetapi membatalkan hasratnya itu selepas mengetahui Datuk N Siva Subramaniam dicalonkan untuk bertanding jawatan itu.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) G Rajasekaran mahu melepaskan jawatan tersebut, tetapi membatalkan hasratnya itu selepas mengetahui Datuk N Siva Subramaniam dicalonkan untuk bertanding jawatan itu.
"Secara peribadi, saya telahpun memberitahu penyokong saya mengenai hasrat saya untuk melepaskan jawatan tersebut. Tetapi sebaik sahaja Siva dicalonkan, saya terpaksa menimbang semula hasrat saya itu," katanya mengenai pemilihan pucuk pimpinan MUTC baru-baru ini.
"Para penyokong saya mahu tahu sama ada saya hendak menyerahkan urusan MTUC kepada seorang yang dianggap sebagai jurucakap kerajaan. Jadi, saya tidak boleh berbuat demikian (menarik diri) begitu sahaja...," tambahnya.
Menurutnya, terdapat dakwaan bahawa beliau menyebelahi kumpulan yang dikaitkan dengan Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE), J Solomon, berhubung krisis kepimpinan dalam kesatuan tersebut.
"Saya dituduh menyokong kumpulan Solomon. Ya, memang saya menyokong mereka...tetapi kerana mereka bersetuju dengan cadangan kita supaya diadakan pemilihan baru untuk menyelesai isu yang sudah berlarutan selama tiga tahun itu.
'Kumpulan satu lagi enggan menimbangkan cadangan tersebut. Jadi, bagaimana saya hendak menyokong mereka yang tidak mementingkan kebajikan 30,000 ahli yang menjadi mangsa akibat perjanjian bersama yang telah tamat lebih dua tahun lalu?" katanya.
Rajasekaran berkata, adalah penting krisis yang melanda NUBE itu diselesaikan dalam tempoh enam bulan.
'Inilah yang kami harap untuk mencapainya dalam tempoh sesingkat mungkin dan perjumpaan dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr Fong Chan On (hari ini) merupakan langkah pertama ke arah itu," katanya.
Dalam pemilihan MTUC 30 Disember lalu, Rajasekaran mengekalkan jawatannya selepas menewaskan Siva dengan majoriti 95 undi.
Majoriti selesa
Seramai 450 perwakilan yang menghadiri persidangan MUTC itu juga telah memilih sebelas muka baru di kalangan 17 ahli jawatankuasa kongres tersebut. Dengan mengambil kira sayap pemuda dan wanita, jumlahnya menjadi 19 orang.
Keputusan yang memeranjatkan ialah apabila kekalahan Zainal Rampak tewas kepada pencabarnya Syed Shahir Syed Mohamud bagi jawatan presiden, dengan majoriti 47 undi. Ini adalah kali kelima Syed Shahir bertanding jawatan presiden kongres tersebut.
"Syed Shahir menang dengan majoriti selesa. Kemenangannya tidak bermakna beliau mendapat undi 27 perwakilan NUBE, kerana tanpa undi mereka pun, beliau masih menang dengan majoriti 20 undi," katanya sambil menekankan bahawa publisiti kali ini agak berkurangan berbanding pada pemilihan lalu.
"Ini adalah kali pertama kita menyaksikan perubahan besar di kalangan pemimpin lama. Bacaan saya ialah ahli-ahli mahukan perubahan kerana tiada banyak pembaharuan yang dibawa, kerana tiada halatuju yang jelas," katanya.
Rajasekaran berkata, perwakilan juga diminta memberi mandat untuk melaksanakan komitmen yang dibuat sebelum ini dan 17 resolusinya.
Beliau berkata, sesetengahnya bimbang gabungan kepimpinan Syed Shahir-Rajasekaran akan mengamalkan pendekatan yang bersifat konfrontasi.
"Ianya tidak akan berlaku, tetapi kita pasti bersifat lebih mendesak," tegasnya.
Perubahan kaedah operasi
Bidang-bidang keutamaan termasuklah menyekat kejatuhan berterusan kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak tahun-tahun kebelakangan ini, pihak bank menggunakan khidmat tenaga luar, penyelesaian pertikaian kesatuan dan isu gaji minimum.
Katanya, MTUC perlu mengubah cara ia beroperasi dan ini menjadikan peranan kepimpinan baru kongres itu, amat penting sekali.
Menurutnya lagi, terdapat keperluan mendesak untuk mengendalikan semua isu yang dibangkitkan dalam persidangan MTUC yang diadakan tiga tahun sekali.
Katanya, kepimpinan MTUC perlu mencari jalan untuk menyelesaikan isu-isu tersebut melalui tekanan berterusan terhadap pihak kementerian, dan pada masa yang sama, mendedahkan aktiviti-aktiviti yang memudaratkan kesatuan.
Rajasekaran juga memandang berat soal kurangnya pengetahuan dan kesedaran mengenai hak-hak kesatuan sekerja di kalangan golongan tenaga kerja.
"Ia adalah penting kerana proses globalisasi kini membawa ancaman yang lebih besar, terutama terhadap pekerja kolar putih. Satu cara untuk menghadapinya ialah untuk mengingatkan kerajaan mengenai kewajipannya mengikut prinsip-prinsip asas konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang disahkan pada 1998.
"Kita akan cuba mengendalikannya di sini, tetapi jika tiada perubahan, maka kita akan terpaksa mengenakan tekanan antarabangsa melalui ILO," tambahnya.
Sambil melahirkan kebimbangannya terhadap kebebasan yang dinikmati para pelabur dalam berurusan dengan para pekerja, beliau menegaskan, kerajaan semakin bertolak-ansur dalam hal hak-hak asasi kerana mahu mengekalkan daya saingnya.
"Persaingan yang hebat untuk mendapatkan pelaburan asing telah mendorong kerajaan, termasuk di Malaysia, berkompromi termasuk melonggarkan undang-undang dan penguatkuasaannya," tambah beliau.
Pendekatan lebih dinamik
Katanya, arah aliran ini juga termasuk mendapatkan khidmat pekerja secara kontrak mingguan di mana mereka menandatangani 'kontrak untuk perkhidmatan' dan bukannya "kontrak perkhidmatan".
"Kontrak sedemikian, antaranya tidak mempunyai jaminan jawatan, tiada caruman KWSP dan faedah perubahan," tegasnya.
Oleh itu, katanya, MTUC perlu lebih lantang bersuara dan mengambil 'pendekatan yang lebih dinamik' melalui barisan kepimpinan yang baru dipilih.
"Perubahan tidak akan berlaku sekelip mata tetapi kita perlu memulakan, dan dengan adanya muka-muka baru, ia adalah satu permulaan yang baik," katanya.
Rajasekaran berkata sehingga akhir tahun lalu, MTUC telah menganjurkan pertemuan dengan ahli akar umbi untuk menjelaskan situasi semasa dan cabaran yang bakal dihadapi.
"Untuk bersifat adil, Fong memang telah menyelesaikan sesetengah isu-isu berlarutan sepanjang tempoh enam bulan lalu, seperti menambah kakitangan untuk menyelesaikan kes-kes perindustrian yang tertunggak," tambahnya.
Bagaimanapun, katanya, isu mengenai pengiktirafan kesatuan sekerja masih berlarutan yang boleh membahayakan keseluruhan gerakan buruh,.
Rajasekaran berkata Fong juga telah menubuhkan jawatankuasa perunding mahkamah perindustrian satu untuk pembaharuan undang-undang dan satu lagi untuk meningkatkan prosidur bagi mengurangkan penangguhan kes oleh semua pihak.
Satu lagi kemajuan yang dicapai, katanya, ialah pertambahan kakitangan hubungan perindustrian di Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur bagi mempercepatkan lagi pengendalian kes-kes tertunggak.

