Pemuda PKR (AMK) khuatir penjenamaan semula Biro Tatanegara Negara (BTN) akan menelan banyak wang rakyat, kata Setiausaha Pengelolanya, Ahmad Syukri Che Ab Razab.

Katanya, ini kerana Jabatan Perdana Menteri menerima peruntukan besar dalam belanjawan 2016 iaitu berjumlah 20.3 Bilion

Tahun lalu, katanya, BTN yang berada di bawah bidang kuasa JPM dilapor menerima peruntukan sebanyak 58.6 juta sepertimana didedahkan seorang ahli parlimen pembangkang.

"Alangkah ruginya jika wang rakyat dilaburkan kepada program konservatif seperti BTN.

"Malah satu pengkhianatan jika wang yang diperolehi daripada cukai rakyat ini digunakan oleh BTN untuk menjalankan agenda politik berat sebelah Umno Barisan Nasional," kataya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Azalina Othman hari ini dilapor berkata BTN perlu melalui proses penjenamaan semula bagi memastikan pengisiannya relevan dengan generasi muda.

Azalina turut mencadangkan supaya program itu ditumpukan kepada golongan lepasan universiti dan bukan universiti bagi membentuk semangat partiotisme di kalangan mereka.

Mengulas lanjut, Ahmad Syukri mengimbas kejadian tahun lalu apabila terdedah mengenai pembentangan slaid program BTN yang didakwa menabur pelbagai fitnah terhadap musuh politik BN.

Antara kandungan kontroversi slide itu termasuk menyerang DAP sebagai musuh politik orang melayu dan melabelkan beberapa individu anak muda sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

"Oleh itu AMK percaya, niat Datuk Seri Azalina Othman untuk menjenamakan semula BTN merupakan suatu yang sia-sia serta bakal membazirkan tenaga dan wang negara," katanya.