Jenayah di Pahang turun hampir 16 peratus
Statistik indeks jenayah di Pahang bagi tahun 2015 mencatatkan penurunan berbanding tahun sebelumnya, kata Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani.
Beliau berkata statistik oleh Jabataan Siasatan Jenayah Kontinjen Pahang menunjukkan 4,645 kes dilaporkan bagi tempoh Januari hingga Disember 2015, menurun sebanyak 15.96 peratus daripada 5,527 kes pada tahun 2014.
Penurunan juga dicatatkan bagi jenayah kekerasan, iaitu 1,084 kes untuk tahun 2015 berbanding 1,177 kes pada tahun 204, manakala 3,561 kes jenayah harta benda dicatatkan pada 2015, menurun daripada 4,350 kes pada tahun sebelumnya.
"Bagi kadar penyelesaian kes, sebanyak 2,363 kes atau 50.87 peratus telah selesai pada tahun 2015 berbanding 2,771 kes atau 50.14 peratus untuk tahun 2014, menunjukkan peningkatan sebanyak 0.73 peratus," katanya.
Sharifuddin berkata demikian pada Majlis Penyerahan dan Pelepasan Kereta Peronda Polis (MPV) dan motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang di Kuantan, hari ini.
Sharifuddin juga memaklumkan semua unit URB Pahang kini dilengkapi dengan Remote Video Recorder atau kamera tubuh berharga RM1,490 yang dapat meningkatkan integriti anggota polis di lapangan.
"Pemakaian kamera adalah untuk merakan pergerakan tugas bagi tujuan siasatan atau sebagai persediaan bagi menjawab masalah yang timbul berkaitan penugasan termasuk salah laku seperti rasuah dan menangkis tohmahan tidak berasas," katanya.
Pada majlis itu, Polis Pahang menerima tambahan 65 buah kereta peronda jenis Inspira 2.0 bagi menggantikan kereta peronda lama jenis Proton Waja, Wira dan Iswara di semua daerah negeri ini.
Polis Pahang turut menerima 60 buah motosikal URB jenis Honda CBR 250, bagi memperkasakan unit URB yang ditubuhkan pada 2 Feb 2014, yang setakat ini mempunyai 158 buah motosikal.
- Bernama

