Semakin ramai kaum Melayu menghantar anak mereka belajar di Sekolah Cina, semata-mata untuk menguasai Bahasa Cina bagi memenuhi keperluan masa depan.

Akhbar Nanyang Siang Pau pula melaporkan di muka A8 (Nasional) bahawa pelajar Melayu di sekolah Cina ini berpendapat cara pengajarannya dapat membantu mereka menguasai beberapa subjek pelajaran, seperti Bahasa Inggeris, Sains, dan Matematik.

Akhbar ini mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai ramainya pelajar Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Pasar Pudu. Walaupun ibu bapa mereka tidak memahami Bahasa Cina, tetapi sesetengahnya dihantar ke tadika yang menggunakan Bahasa Cina.

Abu Hassan (58 tahun) menghantar anak perempuannya, Nur Hidayah ke sekolah Cina untuk membolehkannya belajar bahasa lain yang tidak dapat dipelajari di Sekolah Kebangsaan.

"Anak saya boleh berkomunikasi dan menulis dalam Bahasa Cina selepas berusaha selama tiga tahun," katanya.

Seorang ibu, Rosiha, 36, pula menyatakan anak perempuannya, Najiha yang berumur lapan tahun mempelajari Bahasa Inggeris, Sains, dan Matematik dengan lebih cepat berbanding kakaknya di Sekolah Kebangsaan.

Kaum Cina Aceh tidak dirompak

Akhbar Sin Chew Daily melaporkan di muka 19 (Dalam negeri) berita bahawa ahli parlimen, aktivis hak asasi manusia, dan media Indonesia menolakkan khabar angin bahawa kaum Cina Aceh menjadi mangsa rompakan dan penderaan selepas bencana tsunami.

Mereka mengakui kes mangsa bencana yang lapar merampas dan merompak barangan berlaku di Aceh, tetapi mereka menegaskan bahawa kaum Cina di sana tidak dijadikan sasaran.

Bekas ahli mesyuarat penyelenggaraan rakyat dan bekas Menteri Hak Asasi Manusia Hasbalah berkata khabar angin tentang masyarakat Cina dirompak dan didera, amat berbeza dengan keadaan sebenar di sana.

Namun begitu, beliau mengakui bahawa sebuah pusat beli-belah di Banda Aceh telah dirompak mangsa-mangsa yang lapar.

Ahli parlimen Nurhala pula mengatakan beliau kesal dengan khabar angin kononnya "kaum Cina dirompak, dihina dan dipaksa membantu menanamkan mayat".

Manakala seorang wakil tempatan pula berkata, selepas berlakunya bencana tsunami, kebanyakan penduduk Cina telah berpindah ke tempat lain.

Selain itu, Duta China ke Indonesia, Lu Shumin berkata beberapa kes rompakan memang berlaku di kawasan bencana, tetapi ia tidak tertumpu pada kaum Cina sahaja.

Malah, katanya, kedai milik kaum Cina dan penduduk tempatan juga turut dirompak kerana mangsa bencana tersebut kelaparan dan tiada makanan.

Banyak media Indonesia termasuk akhbar Cina terbesar di Indonesia, International Daily juga melaporkan semalam bahawa tiada bukti kukuh yang menunjukkan kes rompakan ditumpukan kepada kaum Cina berlaku di Aceh.

Akhbar itu juga memetik laporan kumpulan kerja Persatuan Kaum Cina Indonesia (cawangan Medan) yang menyeru kaum Cina Indonesia supaya "tidak mempercayai khabar angin tersebut kerana tiada masalah perkauman di Indonesia".

Lantik akauntan dan penasihat

Timbalan Menteri Kewangan, Dr Ng Yen Yen meminta semua jawatankuasa tanah perkuburan Cina supaya melantik penasihat undang-undang dan seorang akauntan bagi menyiap dan menghantar laporan kewangan kepada Kementerian Kewangan.

Dalam laporan Oriental Daily News di muka A2 (Nasional), beliau juga meminta mereka mendaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan sebelum 31 Januari ini bagi mendapat pengakuan undang-undang dan juga mengamalkan pentadbiran yang lebih terbuka.

Beliau menegaskan demikian selepas menerima sumbangan RM 30,000 untuk Tabung Bencana Tsunami Negara daripada jawatankuasa Tanah Perkuburan Kantonis Kuala Lumpur.

Menurutnya, jawatankuasa tanah perkuburan Cina hanya perlu mendaftarkan nama serta alamat mereka di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, manakala laporan kewangan boleh dihantar pada masa lain.

Beliau berkata, jawatankuasa tersebut boleh mendirikan tabung kebajikan sekiranya mereka hendak menjalankan aktiviti kebajikan. Mereka juga boleh membuat permohonan untuk mengecualikan wang tabung tersebut daripada dikenakan cukai.

Katanya lagi, beliau akan menjelaskan maklumat lanjut tentang pendaftaran dan pengecualian cukai tanah perkuburan Cina pada bulan Februari dan Mac ini.