Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat akan melancarkan pungutan derma bencana banjir dan tsunami di Kuala Lumpur pada 14 Januari ini yang melibatkan golongan korporat dan anak-anak Kelantan di ibu negara.

Dalam kenyataan hari ini, Exco kerajaan negeri, Husam Musa berkata, kerajaan Kelantan telah menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Bantuan Mangsa Bencana Tsunami untuk membantu dan mengumpul dana bagi membantu mangsa khususnya di Aceh dan Phuket, Thailand.

Jawatankuasa tersebut yang diketuai oleh beliau sendiri, turut bertanggungjawab untuk menyelaras misi bantuan daripada badan sukarela dan merancang strategi jangka panjang membantu mangsa tsunami.

Berikutan itu, pungutan derma akan dibuat untuk diserahkan kepada pihak-pihak yang ditetapkan oleh kerajaan negeri seperti ketua jajahan, setiausaha majlis daerah, penggawa dan penghulu dan badan lain yang diperakui oleh kerajaan negeri.

Pelbagai cara digunakan untuk mendapat derma tersebut termasuk dari kakitangan jabatan kerajaan negeri, pasaraya dan peniaga, jemaah masjid, penduduk setempat dan saluran parti politik.

Sementara itu, dalam suratnya kepada Perdana Menteri, Husam berkata, Kerajaan Kelantan mencadangkan supaya kerajaan menggunakan peruntukan khazanah negara bagi membantu mangsa bencana tsunami yang melanda negara baru-baru ini

Katanya, peruntukan boleh diperolehi dari Petronas dan syarikat kawalan kerajaan yang lain manakala kerja-kerja bantuan dan pemulihan diumumkan supaya ia benar-benar berkesan.

Bantu golongan daif

"Bencana besar seperti ini tidak datang setiap masa, apa salahnya wang negara digunakan bagi tujuan bantuan dan pemulihan. Nelayan yang kehilangan punca rezeki pula, sagu hati perlu diberikan kepada mereka," katanya dalam surat tersebut.

Dalam surat itu, beliau juga mencadangkan penggunaan anggota tentera bagi membangunkan semula penempatan yang rosak, terutama di kalangan golongan daif.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat negeri, berkata, satu batalion tentera perlu dihantar ke Aceh dan sebahagian Thailand bagi membantu menyelesaikan pengurusan 80,000 mayat yang masih terbiar.

"Seperti yang Dato' Seri sedia maklum, adalah menjadi kewajiban umat Islam sedunia untuk segera mengurus jenazah dengan sempurna." katanya.

Beliau berkata, pasukan tentera juga boleh digunakan untuk urusan lain seperti meyediakan kemudahan asas bagi mangsa-mangsa yang masih hidup.

Bagi memudahkan bantuan sampai ke kawasan pendalaman, kemudahan seperti helikopter boleh disediakan, katanya.

Husam meminta Menteri Luar Datuk Syed Hamid Albar mengatur satu mesyuarat peringkat menteri di kalangan negara anggota Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) bagi menubuhkan sebuah sekretariat untuk mengurus bantuan.

Sudah cukup

Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berkata sebarang tabung baru untuk mengumpul sumbangan bagi mangsa tsunami tidak perlu diwujudkan lagi kerana bilangan sedia ada sudah mencukupi.

Katanya orang ramai boleh menyumbang kepada tabung yang diiktiraf oleh kerajaan seperti Tabung Bencana Alam Negara selain tabung yang ditubuhkan oleh akhbar-akhbar utama dan yang dikendalikan oleh kerajaan negeri.

"Tak payah wujudkan tabung baru lagi," kata Najib ketika ditanya mengenai usaha pelbagai pihak mewujudkan tabung bagi mengutip sumbangan untuk membantu mangsa ombak besar itu.

Beliau memberitahu pemberita demikian di Kuala Lumpur selepas menerima sumbangan wang, barang keperluan dan ubat-ubatan bernilai RM3 juta untuk membantu mangsa tsunami yang melanda beberapa negeri di Semenanjung 26 Dis lepas.