KiniBiz l AirAsia X, syarikat penerbangan jarak jauh, kumpulan AirAsia, hari ini melancarkan laluan baru ke Auckland, New Zealand melalui Gold Coast, Australia.

Destinasi baru itu dilancarkan secara rasmi oleh Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia John Subritzky.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun, CEO Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dan CEO AirAsia X Bhd Benyamin Ismail.

Dengan laluan baru ini, penumpang boleh melakukan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Auckland dengan membuat persinggahan di Gold Coast.

"New Zealand adalah destinasi bertaraf dunia yang sentiasa mempunyai tempat yang istimewa di hati kita.

“Kami teruja untuk kembali di negara yang indah ini untuk melancarkan perkhidmatan ini," kata Benyamin. Tambahnya, rakyat New Zealand juga kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk ke Gold Coast.

AirAsia X kini menawarkan tambang promosi bermula dari RM499 untuk tempat duduk kelas ekonomi kepada RM1,499 untuk tempat duduk Premium Flatbed (kedua-duanya hanya untuk perjalanan sehala).

Pelanggan boleh menempah tambang promosi dari mulai 13 Januari hingga 24 Januari, 2016, bagi tempoh perjalanan dari 22 Mac 2016 hingga 5 Feb, 2017.

Untuk maklumat lanjut sila layari KiniBiz .