Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mendakwa seluruh rakyat Malaysia menyedari syarikat pelaburan strategi 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) menggunakan dana dari rakyat.

“Saya rasa satu Malaysia tahu dia (1MDB) guna dana rakyat.

“Sebelum 1MDB bermasalah, ia bermula dengan dana rakyat, contohnya apabila dia ambil pinjaman RM5 bilion, itu dana rakyat lah,” katanya kepada pemberita selepas sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Naib Presiden PKR itu berkata demikian mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Abdul Razak selaku Menteri Kewangan yang berkata dana rakyat tidak digunakan untuk menyelesaikan isu 1MDB.

Beliau mendakwa untuk 1MDB meminjam lebih banyak wang, kerajaan telah memindahkan tanah untuk diberikan kepada syarikat pelaburan tersebut.

“Kemudian, untuk membolehkan 1MDB meminjam lebih banyak wang, kerajaan suntik tanah-tanah rakyat. Suntik tanah di Tun Razak (Exchange), Pengkalan Udara Sungai Besi, ini semua tanah rakyat.

“Bayangkan, jual tanah ini kalau di Sungai Besi, nilaiannya RM7 bilion, RM7 bilion itu satu sen pun rakyat tidak dapat,” dakwanya.

Jelasnya apabila tanah-tanah tersebut dilelong bagi mendapatkan wang, akhirnya rakyat tidak tahu ke mana wang tersebut pergi.

“Satu demi satu 1MDB ini ditubuhkan dengan bersandarkan tanah rakyat, dana rakyat.

“Kemudian bila tak boleh bayar hutang, dia ambil lagi dana rakyat seperti Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain,” dakwanya.