'My heart goes to you, Indira' - polis siasat bekas menteri
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Zaid Ibrahim hari ini dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis berhubung satu tulisan di blognya.
Zaid yang hadir bersama tiga orang peguam ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berkata, beliau disoal-siasat selama kira-kira dua jam bermula jam 2.30 petang.
Ia berhubung tulisan di blognya yang bertajuk "My heart goes to you, Indira".
Beliau berkata, berikutan tulisan itu beliau disoal-siasat mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan.
"Saya disoal-siasat oleh polis. Saya berikan keterangan sebaik-baiknya.
"Kenyataan blog saya, "my heart goes to Indira Gandhi". Ada orang tertentu yang marah kerana tulisan saya.
"(Dan) saya disoal siasat tentang kegiatan saya, pendirian saya mengenai kes (Indira) itu dan tulisan saya dalam blog itu," katanya, ketika ditemui pemberita di IPD Dang Wangi hari ini.
Menerangkan tentang tulisan blognya, Zaid berkata beliau menulis dalam konteks terbuka dan tidak menuduh mana-mana pihak.
Justeru, walau disoal-siasat, Zaid berikrar akan terus menulis.
"Saya tidak ada kerja lain kecuali menulis. Kalau saya berhenti, saya tak ada kerjalah.
"Saya akan tetap teruskan perkara penting untuk negara ini. Saya tidak akan rasa tercabar dengan tindakan ini," katanya.
Zaid sebelum ini mengkritik badan kehakiman berikutan keputusan majoriti penghakiman Mahkamah Rayuan yang membabitkan perebutan anak-anak K Pathmanathan @ (Mohd Redwan Abdullah) dan bekas isterinya M Indira Gandhi yang ditukar kepada agama Islam.
Menurutnya, keputusan kehakiman itu sebagai tidak adil dan tidak berhati perut.

