Bekas pekerja Ladang Batu Kawan mogok lapar
Beberapa bekas pekerja ladang, termasuk lima orang wanita, mogok lapar sejak 27 Disember lalu sebagai membantah tindakan Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang (PDC) memotong bekalan elektrik ke rumah mereka di Ladang Batu Kawan sejak lebih sebulan lalu.
Beberapa bekas pekerja ladang, termasuk lima orang wanita, mogok lapar sejak 27 Disember lalu sebagai membantah tindakan Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang (PDC) memotong bekalan elektrik ke rumah mereka di Ladang Batu Kawan sejak lebih sebulan lalu.
Tindakan PDC itu telah menjejaskan kira-kira 300 penduduk di ladang kelapa sawit itu yang terpaksa menggunakan lampu tanah sejak 6 Disember lalu. Mereka juga telah diberi notis supaya mengosongkan kawasan tersebut.
Naib Pengerusi Jawatankuasa Pekerja Ladang Batu Kawan, Siva Perumal berkata kira-kira 100 penduduk, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, kini menumpang tidur di sebuah kuil Hindu berdekatan yang mempunyai bekalan elektrik.
Katanya, PDC yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, telah mengambilalih ladang seluas 2,400 hektar itu daripada Taiko Plantations Sdn Bhd pada tahun 1992.
PDC kemudiannya mengikat kontrak dengan sebuah syarikat perladangan yang menggunakan pekerja asing, menyebabkan Siva dan rakan sekerjanya berada dalam keadaan tidak menentu.
"Kami tidak menghadapi masalah dengan bekalan air atau elektrik dan memperolehi pendapatan antara RM700-RM1,000 sebulan di bawah pentadbiran Taiko. Bagaimanapun, selepas pertukaran tersebut, ramai antara kami yang kehilangan pekerjaan," katanya.
Mengikut Siva, PDC telah mengeluarkan notis pada 20 Disember lalu, mengarahkan mereka mengosongkan kawasan tersebut yang akan dimajukan sebagai kawasan perumahan dan projek pembangunan lain.
Kerana begitu terdesak, bekas pekerja-pekerja terbabit telah melancarkan mogok lapar.
"Masih terdapat enam orang lagi yang mogok lapar hari ini. Lima wanita telah melancarkan mogok lapar sejak 31 Disember. Saya sendiri memulakan mogok lapar empat hari sebelum mereka, bersama dua orang lagi, tetapi saya berhenti kerana ada peluang pekerjaan," kata Siva.
Menurutnya lagi, salah seorang daripada mereka yang mogok lapar itu pernah dirawat selama dua hari di hospital, tetapi kini keadaannya sudah pulih.
Janji beri pampasan
Sementara itu, Kumpulan Kemajuan Masyarakat (KKM), dalam satu kenyataannya semalam, menyifatkan tindakan PDC itu sebagai "kejam" kerana memutuskan bekalan elektrik sehingga menyebabkan anak-anak penduduk tidak dapat mengulangkaji pelajaran.
Menurut Siva dan KKM, para pekerja telah dijanjikan wang pampasan, bantuan kewangan perumahan, pekerjaan dan bekalan kemudahan awam apabila PDC mengambilalih ladang tersebut.
Bagaimanapun, mereka mendakwa semua janji-janji tidak ditunaikan.
"Kita tidak mempunyai apa-apa! Taiko memberi kami sedikit pampasan tetapi tiada apa-apa pun daripada PDC, walaupun ia telah berjanji untuk berbuat demikian. Mereka hanya mahu kami tinggalkan ladang ini begitu sahaja," kata Siva.
KMM juga menggesa Ketua Menteri supaya campurtangan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh bekas pekerja di ladang tersebut.
Jurucakapnya, Choo Chon Kai berkata, pihaknya berharap ada rakyat Malaysia yang prihatin untuk menulis surat kepada ketua menteri menggesanya supaya bekalan elektrik disambung semula ke ladang tersebut.
Pegawai-pegawai PDC tidak dapat dihubungi kerana mereka dikatakan sedang berunding dengan jawatankuasa pekerja di ladang tersebut.

