Pegawai pejabat tanah mengaku tidak salah rasuah bauksit
Dua kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini, atas tuduhan menerima wang tunai RM30,000 daripada seorang pelombong haram bauksit, Rabu lalu.
Fadly Ab Malek, 35, yang merupakan Penolong Pegawai Tanah, dan Syed Umar Khalil Syed Khalid, 34, Pegawai Tadbir dan Diplomatik, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Habibah Mohamed Yusof semasa pertuduhan dibaca secara berasingan.
Fadly didakwa menerima suapan itu antara pukul 12.20 hingga 12.40 tengah hari, 6 Jan lalu di dalam kereta Toyota Fortuner nombor pendaftaran WNK3968 di perkarangan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di Kuantan.
Syed Umar Khalil, yang juga merupakan Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, didakwa bersubahat melakukan kesalahan itu pada pukul 7.35 malam pada hari dan di tempat yang sama.
Suapan itu didakwa diterima daripada Anurul Hiraq Abu Bakar, 33, sebagai balasan untuk tertuduh memberi perlindungan kepadanya yang menjalankan aktiviti perlombongan bauksit secara haram di Bukit Goh.
Suapan itu didakwa untuk memberi perlindungan kepada Anurul Hiraq dengan cara menjual borang pemindahan mineral Borang 13D (sub peraturan 84(4)) di bawah Peraturan-Peraturan Mineral 2005 atas nama Syarikat Aras Kuasa Sdn Bhd.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Syafinas Shabudin mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Rayu jaminan dikurang
Peguam Muhammad Hisham Abdul Rahim yang mewakili Fadly merayu jaminan RM20,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan dikurangkan atas alasan keluarga tertuduh hanya dapat menyediakan RM5,000.
Syed Umar Khalil pula menerusi peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar memohon jaminan rendah diberi atas alasan kebarangkaliannya untuk melarikan diri adalah tidak berlaku kerana anak guamnya masih berkhidmat di pejabat PTG.
Habibah membenarkan jaminan RM10,000 ke atas kedua-dua tertuduh dan kes akan disebut semula pada 5 Febuari ini.
Kedua-dua tertuduh yang berasal dari Pekan, Pahang membayar jaminan itu.
-Bernama

