Masjid Alwi di Kangar merancang menganjurkan latihan seni mempertahankan diri taekwando di dataran masjid tersebut mulai bulan depan.
Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata latihan itu terbuka kepada orang ramai yang hanya perlu membayar wang pendaftaran sebanyak RM35 seorang.
"Pengurusan masjid akan menyediakan seorang jurulatih bertauliah untuk mengendalikan latihan itu yang akan diadakan sekali setiap minggu," katanya semasa menyampaikan ceramah mingguan di masjid itu malam tadi.
Mohd Asri yang juga penasihat Masjid Alwi berkata selain itu, latihan senaman kayu turut diajar kepada jemaah wanita untuk memantapkan daya fizikal mereka selain kursus bahasa Arab, kelas memasak dan kelas pengajian al-Quran.
"Kelas tusyen percuma mata pelajaran Matematik, Sains dan bahasa Inggeris pula diberikan kepada pelajar dan akan dibuka selepas kita mendapat guru tusyen," katanya.
Mohd Asri berkata Masjid Alwi juga menganjurkan kelas asas al-Quran untuk orang-orang dewasa dan penulisan jawi untuk pelajar sekolah.
Beliau menambah Jabatan Mufti Perlis akan menganjurkan Program Jelajah Ilmu dengan membawa penceramah dari luar Perlis untuk memberi ceramah agama dalam usaha mengimarahkan masjid.
- Bernama
