Walaupun berdepan siasatan bawah Akta Hasutan 1948, bekas menteri Umno Datuk Zaid Ibrahim hari ini terus menyentuh isu berkaitan badan kehakiman negara.

Bekas menteri undang-undang itu berkata telah dinasihati oleh anggota keluarga supaya berhenti menulis berkaitan perkara itu dan menghabiskan masa dengan cucunya.

“Dia (saudara perempuan saya) bimbang saya akan masuk penjara,” katanya di blog.

Zaid bagaimanapun enggan mengalah dan berkata hakim-hakim kini begitu sensitif seperti seorang ahli politik.

“Saya beritahu dia, hakim sepatutnya menjadi kubu terakhir daripada kezaliman,” katanya.

“Hakim-hakim adalah individu istimewa yang dapat memberikan keadilan ketika ahli politik dan pihak berkepentingan lain gagal berbuat demikian.”

Merujuk kes M Indira Gandhi, beliau berkata, apabila hakim hilang kapasiti mereka untuk menjatuhkan hukuman yang benar dan adil kepada seorang ibu, “kita akan ada masalah”.

Mengulas siasatan polis terhadapnya semalam, Zaid berkata: “Sudah tentu ada hakim yang sedih apabila saya panggil mereka tiada hati perut”.

“Mereka jadi terlalu sensitif, seperti pemimpin politik yang tidak boleh bertolak ansur dengan kartunis,” katanya.

Zaid juga menyindir dengan berkata perasaan mereka lebih penting berbanding perasaan seorang ibu (Indira), sehingga terpaksa mendapatkan perlindungan daripada Akta Hasutan.

“Lihatlah betapa angkuhnya mereka sudah jadi – kamu tidak boleh sentuh sama sekali,” katanya.

Zaid semalam hadir bersama tiga peguam ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi untuk disoal-siasat kira-kira dua jam bermula jam 2.30 petang.

Ia berhubung tulisan di blognya yang bertajuk " My heart goes to you, Indira " (Hatiku untukmu, Indira).

Beliau berkata, berikutan tulisan itu beliau disoal-siasat mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan, termasuk berkaitan pendiriannya dalam kes pertukaran agama anak secara sebelah pihak itu.

Zaid sebelum ini mengkritik badan kehakiman berikutan keputusan majoriti penghakiman Mahkamah Rayuan yang membabitkan perebutan anak-anak K Pathmanathan @ (Mohd Redwan Abdullah) dan bekas isterinya Indira yang ditukar kepada agama Islam.

Menurutnya, keputusan kehakiman itu sebagai tidak adil dan tidak berhati perut.