Kajian Kementerian Pelajaran mendapati beg murid sekolah rendah jika diisi dengan jumlah buku mengikut jadual persekolahan harian adalah seberat antara tiga hingga empat kilogram.

Akhbar Nanyang Siang Pau melaporkan di muka A18 (Nasional) bahawa kajian tersebut mendapati beg buku murid tahun tiga ialah 3.5 kilogram, tahun empat (4 kilogram), tahun lima (3.5 kilogram) dan tahun enam (3 kilogram).

Berikutan itu, Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein meminta ibu bapa supaya mengemas beg sekolah anak-anak mereka berdasarkan jadual harian persekolahan.

Dengan itu, katanya, mereka dapat memastikan anak-anak mereka hanya membawa buku teks yang diperlukan setiap hari, tanpa membawa buku berlebihan yang akan menambah berat beg sekolah.

Menurut Hishammuddin, soal beg sekolah yang terlampau berat adalah isu lama yang timbul setiapkali sesi persekolahan bermula setiap tahun.

Bercakap selepas mempengerusi mesyuarat di kementeriannya semalam, beliau berkata banyak cadangan diberikan mengenai cara untuk meringankan beban beg sekolah, termasuk menyediakan laci di sekolah untuk menyimpan buku teks.

"Cadangan menyediakan laci untuk meletakkan buku teks tidak dapat digunakan. Menurut pengalaman Kementerian Pelajaran, pelajar tidak dapat menyiapkan kerja sekolah sekiranya menyimpan buku teks sekolah," ujarnya.

Beliau berkata, jika dibandingkan dengan negara jiran, pelajar negara ini dikira lebih bertuah kerana ketika soal isu berat beg sekolah diperkatakan di sini, kanak-kanak di negara jiran berdepan dengan masalah untuk bersekolah.

Sekolah kena yuran berlebihan

Kementerian Pelajaran akan meminta penjelasan daripada sekolah-sekolah yang telah menaikkan kadar yuran sekolah mereka, melebihi daripada kadar yang telah ditetapkan oleh pihak kementerian.

Dalam laporan di muka A6 (Bencana Tsunami) Oriental Daily News memetik Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein sebagai berkata kadar yuran sekolah yang ditetapkan adalah RM 4.50 untuk sekolah rendah dan RM9 untuk sekolah menengah.

"Peningkatan yuran sekolah perlu dibuat menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta mendapat kelulusan Jabatan Pelajaran Negeri. Kes khas akan dikaji untuk menentukan permohonan dibuat mengikut cara yang betul serta kesesuaian yuran sekolah," ujarnya.

Beliau berkata, sekiranya pihak sekolah menaikkan kadar yuran sekolah kerana kekurangan pelajar sehingga menghadapi masalah kewangan, ia bukan cara penyelesaian terbaik, kerana sekolah terbabit boleh memohon bantuan daripada kementerian.

Hishammuddin juga dilaporkan berkata, sekolah yang digunakan sebagai pusat penempatan mangsa bencana tsunami di Kedah dan Pulau Pinang akan digunakan semula seperti biasa selepas kerajaan mengaturkan pemindahan mangsa bencana itu secara sistematik.

"Kerajaan negeri sedang menjalankan kerja pemindahan mangsa bencana yang tinggal di sekolah sementara waktu untuk membolehkan sekolah terbabit beroperasi semula secepat mungkin," ujarnya.

Beliau berkata, pada masa ini empat sekolah dikenalpasti mengalami kerosakan kecil, iaitu tiga di Kedah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Triang, SK Mahawangsa, dan SK Seri Kuala dan SK Tanjong Tokong di Pulau Pinang.

Menurutnya, pintu pagar, padang, pintu masuk dan infrastruktur lain di sekolah berkenaan telah rosak dan kos memperbaikinya dianggarkan RM 317,000.

Katanya, SK Mahawangsa dan SK Tanjong Tokong telah membuka sesi persekolahan pada tarikh yang ditetapkan, manakala SK Seri Kuala akan terus ditutupkan sehingga dibuka semula pada 17 Januari ini.

Bercakap selepas menerima sumbangan buku teks, peralatan sekolah dan sebagainya daripada 54 penerbit semalam, SK Kuala Triang dan SK Bayas akan memulakan sesi persekolahan pada 9 Januari ini, manakala SK Kota Kuala Muda serta SK Haji Sulaiman akan dibuka semula pada 17 Januari.

Di samping itu, beliau berkata, di Pulau Pinang tiga sekolah digunakan sebagai pusat penempatan. Bagaimanapun kini hanya tinggal sebuah sekolah lagi yang masih menempatkan 130 mangsa bencana. Sekolah yang lain telah beroperasi seperti biasa.

Selain bantuan buku teks, Hishammuddin berkata Kementerian Pelajaran juga mengecualikan bayaran yuran sekolah bagi 2,086 pelajar yang terbabit dalam bencana tersebut.

PLKN sebahagian markah ko-kurikulum

Akhbar Sin Chew Daily pula menyiarkan di muka 11 (Dalam negeri) pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa pelajar yang mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) boleh mencampurnya kepada markah ko-kurikulum untuk permohonan memasuki universiti awam.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, ini kerana 10 peratus mata yang ditentukan untuk kemasukan ke universiti awam bagi sesi 2005/2006 ialah dari markah ko-kurikulum, manakala 90 peratus lagi markah akademik.

Oleh itu, pelatih PLKN akan mendapat 10 peratus markah ko-kurikulum tersebut.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kem PLKN kedua 2005 di Kem Setia, Semenyih, Najib berkata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohd Shafie Salleh menyampaikan berita baik tersebut kepadanya semalam.