Bauksit: K'jaan negeri diharap libatkan peneroka cari SOP
Jawatankuasa Penyelaras Bertindak Bauksit Bukit Goh di Kuantan mengharapkan kerajaan negeri melibatkan penyertaan anggota jawatankuasa itu dalam usaha mencari prosedur operasi standard (SOP) yang berkesan bagi menangani isu kegiatan perlombongan bauksit di Pahang.
Pengerusinya Datuk Dr Abdul Wahid Manap berkata kerajaan negeri wajar memanggil jawatankuasa itu sekiranya mengadakan mesyuarat untuk membincangkan penambahbaikan SOP sedia ada supaya dapat berkongsi idea antara peneroka dengan pihak kerajaan negeri.
"Ini kerana dalam jawatankuasa ini kami sendiri peneroka yang ada tanah untuk aktiviti bauksit ini dan telah berhadapan dengan pelbagai karenah pengusaha bauksit yang tidak mengikuti peraturan, sekali gus berupaya mengenal pasti jalan penyelesaian terbaik dalam isu bauksit," katanya.
Abdul Wahid berkata demikian kepada pemberita pada Himpunan Aman Menandakan Sokongan kepada Menteri Besar Pahang Dalam Menangani Isu Bauksit di Felda Bukit Goh di Kuantan semalam.
Mengulas lanjut, beliau mendakwa ada pengusaha yang engkar pada peraturan dengan mencuri bauksit di kawasan pertanian, simpanan bauksit dan lot orang lain yang tidak sepatutnya dikorek demi mengejar keuntungan semata-mata selain tidak mempedulikan isu keselamatan dan debu di jalan raya.
"Mereka (pengusaha bauksit) ini masuk dengan lori dalam pukul 3 atau 4 pagi, siapa yang nak jaga sampai ke pagi," katanya.
Abdul Wahid berkata terdapat 33 pengusaha bauksit di Felda Bukit Goh dan daripada jumlah itu hanya tujuh pengusaha yang memberikan kerjasama kepada jawatankuasa.
Katanya sehubungan itu sekiranya jawatankuasa itu diberi peluang terlibat sama dalam mencari langkah penyelesaian maka ada beberapa cadangan akan diketengahkan anggota jawatankuasa untuk memperkemaskan lagi SOP sedia ada.
"Antara cadangan yang kami ingin berikan adalah perlu ada akur janji antara pengusaha bauksit dengan kerajaan negeri kerana pada masa ini akur janji hanya diadakan antara peneroka dan pengusaha bauksit sahaja.
"Apabila berlaku sebarang pelanggaran peraturan mahupun SOP, hanya peneroka sahaja akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001 iaitu denda RM500,000 mana peneroka nak cari duit banyak ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengharapkan kegiatan perlombongan bauksit tidak dihentikan terus kerana ia merupakan punca rezeki kepada peneroka.
Abdul Wahid melahirkan keyakinan bahawa kerajaan negeri mampu memperoleh langkah penyelesaian terbaik bagi menangani isu berkenaan dalam tempoh tiga bulan penghentian sementara aktiviti perlombongan berkenaan.
"Bauksit ini sebenarnya tidak ada masalah. Ia merupakan rezeki kepada peneroka yang diberikan oleh Allah SWT, sekiranya pengusaha bauksit menepati SOP dan peraturan yang ditetapkan, masalah tidak akan berlaku.
"Sekarang di Felda Bukit Goh sahaja ada 671 peneroka keseluruhannya manakala yang terlibat dengan bauksit ini seramai 248 orang," katanya.
Sementara itu, anak kepada peneroka, Mohd Hamdi Shuib, 49, berkata beliau sangat berharap kerajaan negeri dapat menambah baik SOP sedia ada dengan mengambil kira pendekatan tempoh jangka panjang bagi membanteras kejadian kecurian bauksit sehingga menjejaskan pendapatan peneroka.
"Saya sekarang membantu ayah saya mengawasi dan memantau tanahnya seluas 10 ekar yang dikorek pengusaha bauksit. Saya dapati ada pengusaha bauksit yang tidak sepatutnya korek di tanah ayah saya masuk dengan lori mengambil bauksit di tanah ayah saya," katanya.
Mohd Hamdi mengakui pada awalnya sebagai anak beliau tidak bersetuju dengan perlombongan bauksit itu namun tidak boleh berbuat apa-apa memandangkan bapanya sudah menandatangani perjanjian bersama pengusaha bauksit di luar pengetahuannya.
- Bernama

