Dakwaan jualan senjata tidak munasabah, kjaan tidak lagi latih pejuang Moro
Dakwaan sebuah akhbar Jepun bahawa pejuang pemisah Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) membeli senjata daripada Korea Utara melalui urusan yang diuruskan oleh Malaysia, 'tidak masuk akal dan tidak logik', kata Ketua Pusat Penyelidikan Bangsamoro di Kuala Lumpur, Zakaria Abdullah.
Dakwaan sebuah akhbar Jepun bahawa pejuang pemisah Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) membeli senjata daripada Korea Utara melalui urusan yang diuruskan oleh Malaysia, 'tidak masuk akal dan tidak logik', kata Ketua Pusat Penyelidikan Bangsamoro di Kuala Lumpur, Zakaria Abdullah.
Katanya, pembabitan kerajaan melatih pejuang Moro, sudah berakhir sejak pertengahan tahun 1970-an. Lagi pula, sokongan politik Malaysia kepada puak pejuang itu berakhir apabila termeterainya perjanjian damai pada tahun 1996, dan diikuti pula dengan rundingan damai pada tahun 2001.
Zakaria berkata, pembabitan Malaysia dalam proses damai tersebut tidak mengizinkannya mengambil tindakan yang boleh memburukkan semula konflik tersebut.
Beliau menegaskan demikian ketika mengulas laporan akhbar Yomiuri Shimbun , yang antara lain, mendakwa Malaysia telah menjadi orang tengah dalam penjualan lebih 10,000 rifel dan senjata lain antara tahun 1999 dan 2002.
"Sejak perjanjian damai (September 1996) antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Malaysia mengambil pendirian berkecuali," katanya ketika dihubungi.
Mengikut Zakaria, sokongan kewangan dan ketenteraan Malaysia kepada puak
pejuang Islam di selatan Filipina sudah bertukar kepada hanya sekadar sokongan diplomatik.
"Latihan ketenteraan untuk puak pejuang Moro juga berakhir pada tahun 1974. Selepas itu, ia hanya memberi sokongan diplomatik kepada mereka. Sejak tahun 1996, mereka menjadi pengantara berkecuali antara kerajaan Filipina dan MILF," tambahnya.
'Hak Malaysia'
Bagaimanapun, Zakaria tetap mempertahankan tindakan Malaysia sebelum ini, dalam memberi latihan dan sokongan kepada pejuang Moro.
Katanya, beliau menyokong tindakan Malaysia itu berikutan langkah Filipina melatih 135 rekrut tentera lautnya di Pulau Corregidor di Cavite pada tahun 1968, sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk menyerang Sabah.
Kejadian itu dikenali sebagai "Pembunuhan beramai-ramai Jabidah" selepas sebahagian besar rekrut terbabit yang terdiri daripada orang Islam, memberontak apabila mendapat tahu tujuan sebenar latihan tersebut. Mereka telah dibunuh oleh pegawai atasan bagi menutup rahsia tersebut.
Selepas peristiwa itu, katanya, Malaysia hanya bertindak untuk melindungi haknya terhadap tindakan Filipina.
"Sokongan Malaysia pada masa itu adalah sebagai tindakbalas terhadap tindakan Filipina mempersiapkan satu pasukan untuk menyerang Sabah. Pembunuhan beramai-ramai Jabidah telah mendedahkan niat jahat Filipina itu kepada dunia. Oleh itu, adalah menjadi hak Malaysia untuk bertindak balas dengan melatih puak pemisah Moro," tambahnya.
Bagaimanapun, katanya, adalah tidak masuk akal bagi Malaysia membantu mempertingkatkan keupayaan ketenteraan MILF kerana tindakan itu boleh menjejaskan kepentingan keselamatannya sendiri di rantau ini, tambah Zakaria.
Sejak tahun 2001, peranan Malaysia sebagai pengantara berkecuali, meningkatkan menjadi 'pemain aktif' dalam menganjurkan rundingan damai antara kerajaan Filipina dan MILF.
Oleh itu, kata Zakaria, dakwaan kononnya Malaysia menguruskan penjualan senjata antara Korea Utara dan MILF (seperti laporan tersebut) sudah tentunya bercanggah dengan peranannya sebagai 'orang tengah' dalam usaha menyelesaikan konflik antara kedua belah pihak terbabit.
"Malaysia mahukan perdamaian. Malaysia mempunyai kepentingan di rantau ini. Jika perdamaian wujud, ia pastikan menguntungkan Malaysia. Dan ia lebih menguntungkan Malaysia jika konflik di Mindanao berakhir...bukannya memburukkan lagi keadaan," tambahnya.
Menurut Zakaria, satu lagi tuduhan liar dalam akhbar Jepun tersebut ialah dakwaan kononnya MILF mendapatkan wang melalui penjualan marijuana dan dadah lain, untuk membiayai pembelian senjata tersebut.
"Ini amat tidak masuk akal dan tidak logik. Mereka yang pernah pergi ke kem MILF tahu menghisap rokok diharamkan di sana. Jadi, macam mana mahu menjual marijuana?" katanya ketika dihubungi.
MILF yang selesai menghadiri rundingan awal enam pusingan dengan kerajaan Filipina di Kuala Lumpur pada 21 Disember lalu, mengeluarkan kenyataan yang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

