Kes Indira: Blog, orang Melayu tak faham, kata Zaid
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim berkata kes M Indira Gandhi adalah mengenai persoalan sama ada penukaran agama secara unilateral atau satu pihak harus dibenarkan atau dikawal.
Ini, katanya, lebih-lebih lagi jika penukaran agama itu melibatkan kanak-kanak kecil berusia 11 bulan.
Zaid yang ‘diserang ‘oleh portal pro-Umno Mykmu.net hari ini berhubung beberapa tulisannya mengenai isu itu berkata, blog berkenaan dan beberapa orang Melayu tidak memahami perkara sebenar.
"Saya rasa ini agak malang dan bahawa mereka menjadi emosi tentang apa yang saya tulis, sedangkan mereka (blog itu dan orang Melayu tertentu) tidak memahami isu ini. Mereka fikir hanya kerana ibu itu beragama Hindu tanpa mengira undang-undang, dia tidak boleh mendapatkan hak jagaan.
"Apa yang berlaku jika keadaan bertukar. Isunya ialah mengenai penukaran unilateral terutamanya ia melibatkan penukaran agama anak kecil berumur 11 bulan dan kanak-kanak yang dirampas.
"Saya rasa komen yang dibuat secara bertulis (di blog) itu adalah tidak rasional dan menunjukkan mereka adalah Melayu yang emosi," katanya.
Zaid berkata beliau dilabelkan pelbagai nama sebelum ini apabila bertanding pada pilihanraya kecuil Hulu Selangor dan kekal tidak terjejas dengan sindiran itu.
Beliau mengulas artikel di Mykmu hari ini yang bertajuk `Zaid Ibrahim Mengarang Untuk Menghasut Atau Ketika Mabuk?’
Portal pro-Umno itu mendakwa bahawa Zaid meletakkan emosi melebih prinsip undang-undang dan keadilan.
Ia juga mendakwa Zaid menghasut majoriti rakyat bukan Islam bahawa Mahkamah Syariah tidak mampu melakukan keadilan kepada bukan Islam dalam isu keluar Islam.
[Baca berita penuh]

