Bom di Sarinah: 7 maut, 4 ditangkap
Polis Indonesia berkata, seramai tujuh individu terlibat dalam serangan di Sarinah Mall di Jakarta hari ini.
Daripada jumlah itu, tiga daripada mereka terbunuh, manakala empat lagi ditangkap.
Kompas.com melaporkan, secara keseluruhan tujuh orang maut, iaitu dua orang awam dan lima suspek penyerang.
Daripada lima individu itu, dua maut kerana meletupkan bom pada diri mereka, dan tiga yang lain akibat peluru pasukan keselamatan yang bertindak daripada serangan berkenaan.
Kemas kini status Facebook polis Indonedia menyatakan, dakwaan bahawa penyerang menaiki motosikal dan lengkap bersenjata adalah tidak benar.
Sementara itu Ketua Perhubungan Awam Polis Indonesia, Agus Rianto berkata insiden letupan dan tembak menembak itu hanya berlaku di kawasan Sarinah Mall.
Setakat ini enam orang disahkan maut dalam serangan terancang yang bermula kira-kira jam 9.30 pagi tadi.
Tempo melaporkan selepas letupan pertama - di depan Starbucks Sarinah Mall - berlaku, bom kedua diledakkan kira-kira 30 minit kemudian.
Lokasi serangan kedua adalah pos polis berhampiran.
Kira-kira 15 minit kemudian bom ketiga diletupkan, membabitkan sebuah kereta hitam di Jalan Thamrin.
Tidak lama selepas itu berlaku tembak menembak antara penyerang dan polis sebelum suspek melarikan diri dengan motosikal.
Sementara itu Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam serangan berkenaan.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Wisma Putra menyatakan Kedutaan Malaysia di Jakarta akan memantau secara dekat perkembangan insiden itu.
Rakyat Malaysia yang berada di Jakarta atau bercadang ke bandar raya itu juga dinasihati mengambil langkah berjaga-jaga, selain mengikut setiap arahan dikeluarkan pihak berkuasa.
"Kerajaan Malaysia juga menyatakan rasa simpati mendalam kepada kerajaan dan rakyat Indonesia ekoran insiden itu," kata kenyataan berkenaan.

