Paras baru hutang 1MDB - Arul elak jawab ulang kali
Walaupun disoal berulang-kali dalam satu temu bual, Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy mengelakan daripada memberi jawapan berhubung paras baru hutang syarikat pelaburan negara milik kerajaan itu berikutan penjualan beberapa aset.
Dalam temu bual yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian hari ini, Arul disoal mengenai paras baru hutang 1MDB. Beliau enggan memberi jawapan.
Beliau berkata ini kerana kenyataan kewangan 1MDB masih belum dimuktamadkan.
“Saya tidak boleh menjawab soalan itu sekarang kerana kita perlu membuat keputusan sama ada hutang akan kekal pada penyata kira-kira, tetapi apa yang boleh saya tegaskan, hutang kini menyamai kemasukan aliran tunai untuk batyaran kadar faedah dan prinsipal,” katanya.
Apabila disoal kali kedua mengenai baki hutang 1MDB, Arul Kanda sebaliknya membekalkan perangkaan tahun 2014.
"Berdasarkan penyata kewangan sebelum ini ialah RM42 bilion," katanya.
Ditanya lagi mengenai tahap hutang 1MDB selepas penjualan Edra dan pegangan ekuiti 60 peratus Bandar Malaysia di projek Tun Razak Exchange, beliau sekali lagi enggan memberi perangkaannya.
"Kami belum lagi dalam keadaan untuk memberikan jawapan secara menyeluruh," katanya.
Arul berkata ini kerana 1MDB masih belum membuat keputusan sama ada mahu membayar sebahagian hutang itu ataupun mengekalkan mereka.
Bagaimanapun, beliau berkata semua hutang jangka pendek akan diselesaikan.
Najib pada 31 Disember lalu mengumumkan penjualan aset 1MDB akan membolehkan syarikat itu mengurangkan hutangnya sehingga RM40.4 bilion.

