Akibat kenaikan kos sara hidup yang tinggi, ada di kalangan mahasiswa di negara ini yang terpaksa bekerja untuk menampung perbelanjaan harian.

Beberapa mahasiswa yang ditemui Malaysiakini terpaksa bekerja kerana menurut mereka kos sara hidup saban tahun meningkat.

Menurut mereka, pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diterima setiap semester tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian.

Tinjauan Malaysiakini mendapati mahasiswa dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan juga Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) mengakui bahawa kehidupan mereka terbeban.

Menurut mahasiswa dari sebuah IPTA, Nur Shakira, dia terpaksa menjual goreng pisang di luar waktu kuliah bagi mendapatkan wang lebih.

Katanya, keadaan memaksanya berbuat demikian ekoran segan untuk kerap meminta wang dari keluarganya, selain pinjaman dari PTPTN tidak mencukupi.

“Memang terpaksa jual goreng pisang untuk tampung kos pengajian, kalau ada hari yang terluang dan kelas habis awal.

“Sehari boleh dapat RM60 dan bahagi tiga orang, jadi saya dapat RM20," katanya sambil menambah wang itu dapat menampung antaranya belanja makan dan kos pengangkutan ke kelas.

"Tak kan kerap nak minta (wang) dari keluarga,” katanya.

Bagi mahasiswa dari sebuah IPTS, Nur Syafika dia kini tidak dapat lagi dapat merasa tidur malam kerana terpaksa bekerja di kedai 24 jam iaitu Seven Eleven.

Jadual sehariannya padat kerana di waktu siang perlu menghadiri kuliah manakala di waktu malam terpaksa bekerja dari jam 11 malam hingga 7 pagi setiap hari.

Katanya, selepas membayar yuran setiap semester, baki PTPTN yang tinggal hanya berbaki RM300 untuk terus hidup selama enam bulan, menyebabkan dia tiada pilihan, melainkan bekerja.

“PTPTN tidak cukup, kalau satu semester hanya berbaki RM300, dulu tidak terfikir nak kerja Seven Eleven tapi tak sanggup tengok baki RM300 yang tinggal, memang kena kerja la. Saya dulu minta dengan keluarga tapi saya kurangkan sedikit.

“Kerja masuk jam 11 malam hingga 7 pagi, dan esoknya pergi kelas dari jam 1 tengah hari sampai petang.

“Saya perlukan RM700 setiap bulan untuk bayar sewa, wang belanja dan dengan bekerja saya dapat RM1,500,” kata mahasiswa berusia 19 tahun itu.

Manakala seorang lagi mahasiswa UiTM, Fatin Suhaira Abd Rahim berkata, dia kini akan menggunakan kemahiran yang dipelajari bagi menampung kehidupan seharian.

Katanya, dia menyediakan perkhidmatan fotografi, mengambil upah membuat rekaan grafik, dan mencetak baju kemeja T bagi mendapatkan wang untuk menampung kehidupan seharian.

“Saya ada tangkap gambar orang kahwin, melakukan suntingan gambar dan rekabentuk kerana perlukan wang untuk tampung pengajian. Kami akan gunakan kemahiran yang kami ada untuk cari duit belanja, memang terpaksa.

“(Pinjaman) PTPTN tak cukup sebab sesetengah jurusan lain mungkin cukup tapi kami tidak cukup sebab kami perlu keluarkan kos untuk mencetak gambar tugasan.

"Lagi pun barang-barang kamera mahal, dan (wang pinjaman) PTPTN memang tak cukup.

“Kalau pertengahan semester memang kering, saya akan gunakan semua sosial media yang ada untuk dapat pendapatan sampingan,” kata mahasiswa berusia 24 tahun itu.