Tak wajar mahasiswa buat kerja sambilan, kata NGO
Mahasiswa sepatutnya diberi bantuan oleh pihak kerajaan dan tidak wajar untuk bekerja sambilan.
Pengerusi Gabungan Kami Sayang Mahasiswa (KASIH), Mariam Abd Rashid berkata, mahasiswa tidak sepatutnya membuat kerja sambilan sebaliknya mereka perlu dibantu oleh kerajaan.
"Saya tak setuju pelajar kena kerja sambilan. Bagi kita yang berstatus negara maju, dengan hasil negara yang besar, kita rasakan pelajar ini sepatutnya diberi pembiayaan khusus terutama (pelajar dari keluarga) yang berpendapatan rendah.
"Sekarang ini yang menganggur pun ramai, macam mana nak buat kerja sambilan? Jadi kerajaan Malaysia, dengan dana yang banyak sepatutnya membantu dan perkara sebegini tak berlaku," katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan sesetengah pihak supaya pelajar melakukan kerja sambilan.
Selain itu, ditanya sama ada pelajar kini semakin manja kerana sentiasa mahukan bantuan, Mariam berkata beliau tidak bersetuju dengan kenyataan itu.
Katanya, tajaan kepada pelajar bukan perkara baru memandangkan ia turut dilaksanakan negara lain.
"Ini bukan benda baru (pelajar berlapar). Tapi dah lama mereka pendamkan. Tak mungkin mahasiswa manja.
"Di luar negara, mahasiswa ditaja dari hujung rambut sampai kaki dibiayai oleh kerajaan," katanya lagi.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh sekali lagi menegaskan tidak timbul isu mahasiswa kebuluran akibat masalah kewangan di universiti.
Sebaliknya, anggota Parlimen Besut itu berkata pelajar tidak sepatutnya menghadapi masalah kewangan dan sekiranya mahu duit lebih mereka perlu bekerja.

