Jakim perhebat kempen anti IS ketika ancaman hampiri negara
Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) akan mempergiatkan aktiviti penerangan tentang bahayanya kumpulan militan Negara Islam (IS) khususnya di kawasan yang berisiko tinggi, sehari selepas Jakarta digegarkan dengan serangan pengganas.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha, berkata sesi penerangan itu juga meliputi semua imam di seluruh negara.
"Kita akan beri penjelasan melalui gerak gempur tentang IS dengan memberi penekanan di semua bahagian di Jakim, sama ada melalui media televisyen, radio dan media cetak," katanya pada sidang media pengumuman keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK), di Putrajaya hari ini.
Dalam serangan semalam, sekurang-kurangnya 6 orang, 3 daripadanya anggota polis, terbunuh manakala beberapa orang yang lain, termasuk anggota polis, cedera dalam siri letupan di kawasan berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jakarta.
Ketua Bahagian Hubungan Manusia Polis Republik Indonesia Anton Charliyan berkata beberapa lelaki bersenjata, yang turut membawa bom tangan, melancarkan serangan berhampiran Restoran Starbucks di Sarinah Mall di Jalan MH Thamrin, Jakarta, pada 10.50 pagi.
Pengganas Isis mengakui mereka bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
Mengulas lanjut, Othman berkata rakyat Malaysia yang terjebak dengan kegiatan militan Negara Islam (IS) di Asia Barat adalah kerana pengaruh media sosial dan propaganda atas talian.
"Penglibatan mereka adalah dipengaruhi oleh internet dan itu susah sikit nak kawal.
"Kita bimbang. Tapi saya percaya pihak keselamatan kita ada cara untuk mengawalnya dengan pengawalan maklumat," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai pengubahsuaian Belanjawan 2016 Othman berkata beliau redha dengan segala ketetapan yang dibuat untuk Jakim.
"Kita akur. Kita akan ubah suai sahaja dengan menekankan beberapa perkara secara optimum dengan aktiviti yg strategik. Kita cuma cari sedikit penjimatanlah," tambah Othman.

