Lim ingatkan Ibrahim: Kita tak bertemu, tapi awak telefon saya
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menafikan dakwaan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali bahawa beliau seorang ‘pembohong besar’ apabila mendakwa ketua kumpulan pendesak Melayu itu pernah meminta bantuannya daripada ditahan mengikut Akta Dalam Negeri (ISA).
Sambil mengesahkan bahawa kedua-dua mereka tidak pernah bertemu, Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata Ibrahim memanggilnya untuk meminta bantuan.
"Saya sahkan bahawa kami tidak pernah bertemu pada tahun 70-an apabila saya adalah Ketua Pembangkang di Parlimen dan beliau adalah seorang pemimpin pelajar.
"(Tetapi) beliau menghubungi saya melalui telefon pada satu hari dalam keadaan panik dan meminta bantuan saya kerana polis Cawangan Khas sedang memburunya dan dia takut akan ditahan di bawah ISA," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Pemimpin DAP itu mengulangi bahawa Ibrahim tidak menafikan peristiwa itu apabila ia pertama kali ditimbulkan pada tahun 2010.
Lim berkata kini terpulang kepada Ibrahim untuk "bergelut dengan hati nuraninya" dan memutuskan sama ada untuk mengakui kejadian itu.
Beliau juga menasihatkan bekas ahli Parlimen Pasir Mas supaya berlaku jujur dan "berhenti hidup dalam dunia yang penuh kepura-puraan" jika mahu dirinya dihormati.
Pada hari Rabu, Ibrahim melabelkan Lim sebagai "pembohong besar" dan menafikan dia pernah meminta bantuan pemimpin veteran itu.
Mengimbas kembali penahanannya pada tahun 1974, presiden PERKASA itu berkata beliau tidak pasti jika ada orang lain yang meminta bantuan Lim.
Sementara itu, Ibrahim ketika diminta mengulas kenyataan Lim sekali mendakwa pemimpin DAP itu seorang pembohong besar.
“Dengan nama Allah saya bersumpah saya tidak menelefon orang yang bernama Lim Kit Siang ini.
“Dia tak ada alasan menyerang saya jadi dia mereka cerita. Dia ini adalah Bapa Pembohong.
Gila punya cerita. Bila masa saya nak telefonnya,” katanya kepada Malaysiakini , hari ini.

