Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS Kelantan menyatakan kekesalan mereka dengan tindakan pimpinan PKR menghadiri program anjuran Parti Amanah Negara (AMANAH) di negeri itu dan meminta ia tidak diteruskan "demi kebaikan bersama".

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata tindakan seperti itu boleh menimbulkan ketidakselesaan dalam hubungan politik antara PAS dan PKR di negeri tersebut.

Jelasnya lagi, PKR seharusnya lebih sensitif dengan kehendak akar umbi kedua-dua parti berkenaan, malah beliau bimbang sekiranya terdapat suara ahli yang mendesak supaya PKR memilih antara PAS atau AMANAH.

“PAS dukacita dengan tindakan PKR yang turut serta dalam acara AMANAH di negeri Kelantan.

“Harap PKR sensitif dengan (kemahuan) akar umbi sebab pimpinan ni, kita boleh lebih gentle , tapi takut akar umbi buat desakan minta PKR pilih antara dua (yang akan) merumitkan keadaan,” katanya kepada Malaysiakini .

Che Abdullah dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai sepucuk surat dikeluarkannya kepada Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli ( gambar ), bertarikh 13 Januari lalu.

Surat itu dikesan beberapa hari selepas salah seorang pemimpin PAS meramalkan hubungan parti itu dengan PKR mungkin "berakhir lebih awal" sebelum pilihan raya umum ke-14.

PKR maklum rasa PAS

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki membuat jangkaan itu ekoran tiada lagi faktor yang mengikat kedua-dua parti berkenaan.

Bagaimanapun kenyataan Zuhdi itu bersifat peribadi dan bukan mewakili sikap rasmi PAS.

Menurut Che Abdullah, PAS Kelantan berharap hubungan baik dengan PKR dapat diteruskan demi mempertahankan "kerajaan Islam Kelantan" dan menjayakan misi menumbangkan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kami akan sentiasa memaklumkan kepada PAS Pusat mengenai perkembangan semasa politik di Kelantan khususnya mengenai hubungan PAS - PKR untuk pertimbangan dan tindakan badan tertinggi PAS," katanya. seterusnya,” katanya.

Sementara itu Rafizi yang juga Naib Presiden PKR berkata, parti itu memahami rasa kurang senang PAS dan isu berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik parti berkenaan Selasa ini.

Rafizi berkata, dia tidak tahu siapa pemimpin PKR yang menghadiri program AMANAH di Kelantan seperti dimaksudkan Che Abdullah.

Bagaimanapun, katanya, adalah normal untuk pemimpin PKR menghadiri majlis seperti ceramah dianjurkan rakan pembangkang.

PAS - setakat ini - masih meneruskan gabungan politik dengan PKR namun memutuskan hubungan dengan DAP serta AMANAH.

Pada masa sama PKR turut membentuk gagasan pembangkang di bawah Pakatan Harapan bersama DAP dan AMANAH.

Lihat Komen
ADS