Masalah penyalahgunaan dadah mula merebak ke universiti-universiti awam dan sehingga ini kira-kira 300 pelajar terbabit dalam gejala tersebut.

Dalam laporannya di muka A9 (Nasional), Nanyang Siang Pau memetik Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohd Shafie Salleh sebagai berkata pelajar yang ketagihan dadah itu terdiri daripada pelbagai kaum, kebanyakannya Melayu.

Bercakap kepada media selepas merasmikan'Projek Merentasi Perpaduan' semalam, beliau berkata, pihak yang bertanggungjawab memberi kaunseling kepada pelajar bermasalah adalah lulusan kaunseling biasa.

Sedang masalah dadah, katanya, hanyalah merupakan sebahagian kecil daripada kursus tersebut.

Oleh itu, katanya, kerajaan telah membuat keputusan untuk menghantar mereka mengambil kursus kaunseling di peringkat profesional yang membolehkan mereka mengkaji masalah dadah secara mendalam.

Kursus tersebut, katanya, akan dimulakan pada bulan Februari dan berterusan selama sembilan bulan. Dalam fasa pertama, 60 pembimbing kaunseling akan menyertai kursus, dan bilangannya akan ditambah pada masa akan datang.

Menurutnya, kini terdapat lima tenaga profesional dalam bidang tersebut di Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Sabah dan Universiti Sains Malaysia.

Katanya, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat juga akan menghantar pembimbing kaunseling masing-masing untuk menyertai kursus tersebut.

Kekurangan minyak diesel

Sementara itu, Sin Chew Daily dalam laporan di muka 4 (Dalam negeri), memetik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal sebagai berkata, masalah kekurangan bekalan diesel di pasaran adalah tidak serius selepas kerajaan mengambil langkah pengagihan bahan tersebut.

Katanya, kekurangan bahan tersebut berlaku kerana ada pihak yang mengaut keuntungan daripada subsidi kerajaan bagi minyak diesel dan kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

Beliau berkata, kementeriannya mendapati lori milik syarikat yang mengadu tidak dapat membeli minyak diesel, pernah diubahsuai. Lori berkenaan mempunyai dua tong minyak diesel.

Bercakap kepada media di Pulau Pinang, beliau berkata, lori tersebut hanya menjalankan kerja pengangkutan di antara Bukit Mertajam dan Alor Star, dan ia tidak memerlukan satu lagi tong minyak diesel.

Katanya, kerajaan sedang mengawasi kegiatan penjualan minyak diesel, termasuk di Sabah dan Sarawak yang memerlukan lebih bahan bakar itu kerana terdapat kawasan pembalakan yang luas.

Bahagian penguatkuasa, katanya juga mengambil tindakan tegas menangkap mereka yang terlibat dalam kegiatan haram, termasuk stesen minyak, syarikat pengangkutan dan nelayan.

Selain itu, katanya, bahagian penguatkuasa kementeriannya juga, telah membongkarkan tiga kegiatan menjual minyak diesel melebihi had di Pulau Pinang berikutan bantuan maklumat daripada orang awam.