Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
EKVE: Kerajaan Selangor mahu jumpa NGO alam sekitar

Kerajaan negeri Selangor mahu berjumpa dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia bagi mendengar bantahan dan memberi penjelasan berkenaan pembinaan East Klang Valley Expressway (EKVE) yang didakwa mengancam habitat haiwan di hutan simpan tempatan.

Menteri besarnya, Datuk Seri Azmin Ali berkata pihaknya akan memastikan siasatan dilakukan di bawah Akta Perhutanan Negara dalam menyelesaikan masalah tersebut.

“Perkara ini kita lalui proses pendengaran awam dan kaedah siasatan mengikut Akta Perhutanan Negara mesti diterima pakai.

“Saya telah hubungi (jurucakap) supaya maklum pada kumpulan yang bantah untuk bertemu kerajaan negeri dalam masa terdekat supaya bantahan didengar dan kita akan beri penjelasan.

“Saya dah bagi tahu supaya kerajaan negeri akan pastikan kaedah-kaedah penyiasatan akta perhutanan itu mesti diguna pakai dalam buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan kakitangan Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam.

Minggu lalu, penampakan seekor kambing gurun Sumatera (Capricornis sumatraensis) yang juga spesis terancam di kawasan Ukay Perdana mencetuskan kebimbangan habitat haiwan itu diganggu berikutan pembinaan EKVE.

Kawasan Hutan Simpan Ampang diisytiharkan sebagai zon larangan masuk bagi pelawat untuk memberi laluan kepada pembinaan lebuh raya bertol 39.5km yang akan menghubungkan Sungai Long ke Damansara.

Sementara itu, Azmin berkata selain EKVE, pihaknya turut menerima bantahan daripada penduduk mengenai pembinaan Sungai Besi-Ulu Klang (Suke) dan merancang akan berjumpa dengan pengadu dalam tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS