Malaysiakini BERITA

Nasrudin tarik balik artikel singgung KM Pulau Pinang

Susan Loone  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan hari ini menarik balik sebahagian daripada kenyataannya pada 6 Ogos 2014 yang menyebabkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tersinggung.

Nasrudin berkata beliau kesal kerana artikel berhubung pembinaan terowong dasar laut itu telah menyebabkan salah faham dengan Lim.

"Kami telah memutuskan untuk tidak memanjangkan kes berkenaan.

"Saya telah membuat keputusan untuk menarik balik sebahagian artikel yang menyinggung Lim kerana ia tidak mempunyai asas," kata Nasrudin yang membaca kenyataannnya itu.

Persetujuan bersama itu direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Lim Chong Fong, di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Mahkamah juga memerintahkan Nasrudin membayar RM10,000 sebagai pampasan kepada Lim.

Lim menyaman Nasrudin kerana mendakwanya menggunakan rundingan terus untuk penganugerahan projek RM4.63 bilion kepada Konsortium Zenith BUCG Bhd.

Nasrudin mendakwa Lim memberikan projek secara rundingan terus walaupun Pakatan Rakyat menentang cara berkenaan.

Beliau kemudian mempersoalkan mengapa Lim tidak dibidas kerana projek itu sedangkan bekas Menteri Besar Selangor tan Sri mKhalid Ibrahim diselar dan didesak meletak jawatan kerana projek Lebuhraya Kinrara-Damansara.

Pemimpin PAS itu juga mempersoalkan "perbelanjaan berlebihan" Lim sebagai sesuatu yang tidak perlu apabila Pulau Pinang mencatatkan bajet defisit selama enam tahun berturut-turut.

"Di mana kepimpinan Pakatan dalam menegur tindakannya?" soal Nasrudin.

Projek Kidex adalah antara sebab utama mengapa PKR yang mahu menggantikan Khalid sebagai menteri besar.

Kos projek itu dianggarkan bernilai RM161 juta dengan tempoh konsesi selama 48 tahun.

Lim diwakili peguam Datuk N Mureli, manakala Nasaruddin diwakili peguam, Yusfarizal Yusoff, Wan Rohimi Wan Daud, Mohd Faizi Che Abu dan Asmadi Abu Bakar.

[Baca berita penuh]