Bekas pekerja Ladang Batu Kawan teruskan mogok lapar
Penduduk Ladang Batu Kawan meneruskan mogok lapar kerana membantah tindakan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang mereka dakwa sengaja memotong bekalan elektrik ke kawasan mereka bulan lalu.
Penduduk Ladang Batu Kawan meneruskan mogok lapar kerana membantah tindakan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang mereka dakwa sengaja memotong bekalan elektrik ke kawasan mereka bulan lalu.
Mengikut Naib Presiden Persatuan Pekerja Ladang Batu Kawan, Siva Perumal, empat orang penduduk wanita berumur 40-50 tahun, meneruskan mogok lapar tersebut.
PDC agensi kerajaan negeri yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Khoon dikatakan telah memotong bekalan elektrik pada 6 Disember lalu, diikuti dengan notis mengarahkan penduduk keluar dari tempat tersebut dua minggu kemudiannya.
"Empat daripada mereka memulakan mogok lapar itu pada 7 Januari lalu apabila enam penduduk yang mogok lapar sebelum ini, berhenti selepas tempoh seminggu, " kata Siva yang merupakan salah seorang daripada enam penduduk terbabit, ketika dihubungi hari ini.
Pada mulanya, kata beliau, lima orang penduduk menyertai mogok lapar tersebut Jumaat lalu, tetapi seorang daripadanya sudahpun berhenti.
"Kami akan terus mogok lapar sehingga Dr Koh Tsu Koon menemui kami dan membantu menyelesaikan perkara ini. Kami telah menghantar jemputan kepadanya, tetapi masih belum menerima sebarang jawapan," katanya.
Koh tidak dapat dihubungi kerana beliau sedang berada di Amerika Syarikat dan akan hanya pulang pada 17 Januari ini.
Malaysiakini juga diberitahu, setiausaha akhbar Ketua Menteri juga bercuti sehingga 13 Januari ini dan tidak seorang pun di pejabatnya yang mengetahui mengenai masalah di ladang tersebut.
Janji tidak ditunaikan
Ladang tersebut, yang kini didiami oleh lebih 300 orang, sebelum ini adalah milik Taiko Plantations Sdn Bhd. Bagaimanapun, pada tahun 1992, PDC mengambil alih ladang tersebut, menyebabkan pekerja ladang itu kehilangan pekerjaan.
Majoriti bekas pekerja ladang itu, yang sebahagian besarnya kaum India, dikatakan menghadapi masalah kewangan dan tidak dibayar sebarang pampasan oleh PDC kerana kehilangan pekerjaan.
Ditubuhkan pada 1969, PDC - yang terbabit dalam pembangunan tanah, terutamanyaprojek perumahan - didakwa tidak mengotai janjinya untuk menyediakan tempat kediaman alternatif kepada pekerja terbabit.
Jawatankuasa pekerja tersebut dan beberapa pertubuhan lagi, menyifatkan tindakan terbaru perbadanan itu memotong bekalan elektrik ke ladang tersebut sebagai "kejam" dan menyebabkan anak-anak pekerja di situ tidak dapat mengulangkaji pelajaran sekolah mereka.
Juga dilaporkan bahawa kira-kira 100 penduduk, sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak, kini menumpang berlindung pada waktu malam di sebuah kuil berhampiran yang mempunyai bekalan elektrik.
Generator rosak
Ketika dihubungi hari ini, Ketua Bahagian Perancangan dan Pembangunan Tanah PDC, Mohd Bazir Abdul Kahar menafikan yang pihaknya telah memotong bekalan elektrik ke ladang tersebut.
Beliau mendakwa terdapat masalah dengan generator yang menyalurkan bekalan elektrik di kawasan tersebut.
"Kami(PDC) bersama-sama dengan pejabat tanah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sedang berbincang dengan penduduk terbabit bagi menyelesaikan masalah tersebut," katanya tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.
Jawatankuasa pekerja tersebut sebelum ini berkata pertemuan-pertemuan yang diadakan dengan pelbagai wakil kerajaan, gagal mencapai sebarang jalan penyelesaian.

