TPPA: DPMM akan hantar memo bantahan kepada Najib
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) akan menghantar memorandum kepada perdana menteri bagi membantah perjanjian Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) daripada dilaksanakan.
Presidennya Datuk Syed Ali Alattas berkata, memorandum itu akan dihantar kepada perdana menteri dan juga anggota parlimen sebelum Parlimen bersidang minggu depan.
Selain itu, Syed Ali turut menegaskan bahawa pihak kerajaan perlu berbincang terlebih dahulu dengan Majlis Raja-raja Melayu sebelum TPPA ditandatangani.
Jelasnya, perkara itu penting kerana ia isu serius yang melibatkan rakyat dan juga negara.
"Kita akan hantar kepada perdana menteri dalam masa terdekat dan kemudian memorandum itu kita akan beri salinannya kepada anggota parlimen.
"Ringkasannya (memorandum), pertama kita nasihatkan TPPA tidak baik untuk jangka masa panjang kepada negara.
"Dan ia juga akan melibatkan isu kedaulatan negara, salah satunya parlimen akan tersekat dan terkongkong.
"Kerana ia melibatkan undang-undang, saya nak tanya adakah raja-raja Melayu telah dirujuk terlebih dahulu dan meminta nasihat dari mereka? Ini melibatkan hal rakyat dan negara yang serius dan ia perlu mendapatkan nasihat Majlis Raja-raja," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di ibu negara hari ini.
Syed Ali turut menasihatkan kerajaan agar tidak bertindak seperti pepatah "dengar guruh di langit, air ditempayan dicurahkan" ketika membuat keputusan berhubung penerimaan TPPA.
Adakah kita mampu
Malah beliau meminta kerajaan memikirkan kesan jangka panjang terhadap rakyat sekiranya TPPA ditandatangani.
"Kenapa kita nak sangat tanda tangan, sedangkan 95 peratus lagi negara-negara lain tak mahu tanda tangani? (Negara) yang menandatangani (TPPA) semua negara maju. Kita negara kecil dan kita bimbang tidak mampu untuk bersaing dengan syarikat besar yang lain selepas TPPA," katanya.
Sementara itu, penasihat undang-undang Yayasan Kajian dan Pembangunan Dewan (YKPD) Tan Sri Aziz Abdul Rahman pula melahirkan kebimbangan yang akan dihadapi oleh para peniaga di negara ini sekiranya TPPA ditandatangani.
Katanya, beliau mempersoalkan sama ada peniaga di negara ini mampu bersaing dengan syarikat gergasi sedia ada di AS setelah perjanjian tersebut dimeterai.
"Kita patut ingat, Malaysia masih negara yang kecil. Bila adanya TPPA kita harap dapat tembusi pasaran negara lain seperti Amerika.
"Kalau boleh masuk pasaran Amerika, bagus. Tapi satu soalan besar ialah adakah kita mampu atau tidak dengan keadaan sekarang untuk bersaing dengan Amerika yang besar dan ada kerjasama yang besar dan pelbagai teknologi canggih.
"Persoalannya adakah kita mampu?" soal bekas pengerusi MAS itu.
TPPA pada asalnya merupakan perjanjian perdagangan yang bermula antara New Zealand dan Singapura pada 2001, dan kini berkembang melibatkan 12 negara.
AS menyertai rundingan TPPA pada 2008 selepas perjanjian P4 tercapai antara Chile, Brunei, New Zealand dan Singapura pada 2006.
Kemasukan AS menjadi tarikan kepada negara lain seperti Australia, Vietnam dan Peru menyertai meja rundingan pada tahun berikutnya.
Meskipun pada awalnya ia cuma perjanjian perdagangan, kini TPPA meliputi hak pekerja, alam sekitar, perlindungan harta intelek, kastam, e-perdagangan dan juga pelaburan.

