Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, parti itu akan mengadakan perbincangan di belakang tabir dengan PAS mengenai isu kehadiran pemimpin dalam program Parti Amanah Negara (AMANAH).

“Saya sedia maklum dan perkara itu akan dibincangkan pada peringkat parti.

“Insya-Allah selepas berbincang dengan biro politik, perkara ini akan dibincangkan di belakang tabir dan juga dengan PAS,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini.

Rafizi bagaimanapun tidak menyatakan bilakah pertemuan tersebut akan diadakan.

Semalam PAS Kelantan menyatakan 'kekesalan' mereka dengan tindakan pimpinan PKR menghadiri program anjuran AMANAH di negeri itu.

Justeru PAS Kelantan menulis surat kepada Rafizi meminta ia tidak diteruskan "demi kebaikan bersama".

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata tindakan seperti itu boleh menimbulkan ketidakselesaan dalam hubungan politik antara PAS dan PKR di negeri tersebut.

Rafizi semalam turut berkata, parti itu memahami rasa kurang senang PAS dan isu berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik parti berkenaan Selasa ini.

Rafizi bagaimanapun berkata, dia tidak tahu siapa pemimpin PKR yang menghadiri program AMANAH di Kelantan seperti dimaksudkan Che Abdullah.

"Adalah normal untuk pemimpin PKR menghadiri majlis seperti ceramah dianjurkan rakan pembangkang," katanya.

PAS - setakat ini - masih meneruskan gabungan politik dengan PKR namun memutuskan hubungan dengan DAP serta AMANAH. Pada masa sama PKR turut membentuk gagasan pembangkang di bawah Pakatan Harapan bersama DAP dan AMANAH.