Rafizi mahu kempen halang jualan Bandar Malaysia 1MDB
Setiausaha Agung Rafizi Ramli akan menjalankan kempen supaya penjualan Bandar Malaysia oleh 1MDB kepada Konsortium Iskandar Malaysia Holdings-China Railway Engineering Corp (IWH-CREC) tidak menjadi kenyataan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Pandan berkata beliau akan menulis surat kepada Tabung Haji dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) agar mereka tidak memberi kebenaran seterusnya menghentikan penjualan itu.
Pada sesi Dewan Rakyat pada Mac ini, Rafizi berkata beliau akan memfailkan usul untuk mendesak Tabung Haji dan KWAP supaya menggunakan hak mereka menuntut bayaran serta merta RM1.5 bilion yang dipinjamkan kepada 1MDB.
“Urusniaga itu ada melibatkan kepentingan keselamatan dan pertahanan negara kerana ia mempunyai kesan kepada kerja-kerja memindah dan menaiktaraf pangkalan udara di seluruh negara.
“Memandangkan penjualan 60 peratus pegangan 1MDB dalam Bandar Malaysia adalah tertakluk kepada persetujuan Tabung Haji dan KWAP, saya akan mengambil tindakan-tindakan berikut (untuk menghentikan jualan)," katanya.
Rafizi berkata demikian bagi mengulas penafian 1MDB terhadap kenyataannya semalam, di mana dana pelaburan negara itu menjelaskan bahawa pemindahan saham kepada IWH-CREC adalah tertakluk kepada kelulusan pemegang sukuk iaitu Tabung Haji dan KWAP.
1MDB menerbitkan sukuk bandar Malaysia bernilai RM1.5 bilion pada tahun 2014, yang antara lain, bagi membiayai kos pemindahan Pangkalan Udara Sungai Besi yang kini terletak di tapak projek Bandar Malaysia.
Antara syarat sukuk itu adalah bahawa Bandar Malaysia kekal milik penuh rakyat negara ini tetapi 1MDB telah menjelaskan bahawa tidak ada pelanggaran syarat kerana pemindahan saham kepada konsortium China itu adalah tertakluk kepada kelulusan pemegang sukuk.
Syarikat itu dipertanggungjawabkan untuk membina dan membangunkan lapan pangkan udara baru.

