Dalam nada sebak, bekas pemandu Pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh merayu sumbangan derma buat ibu bapanya yang sakit di India.

C Selvam, 29, tidak dapat mencari pekerjaan kerana sedang menunggu perbicaraan atas tuduhan memandu secara cuai berhubung nahas jalanraya pada 14 April lalu yang meragut nyawa Karpal dan pembantu peribadinya, Michael Cornelius.

Pada sidang akhbar di pejabat Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan di Pulau Pinang hari ini, Selvan berkata ibunya, yang bekerja sebagai buruh, hanya memperoleh kira-kira 40 sen bagi setiap hari.

"Ayah saya sakit sejak beberapa bulan lalu selepas mengalami kecederaan tulang belakang," katanya.

Selvam kini dibebaskan dengan ikat jamin dan di bawah jagaan Huan.

Huan membayar wang jaminan untuk Selvam pada 4 Ogos 2014. Sebelum itu, beliau ditahan di penjara Taiping sementara menunggu perbicaraan.

Keluarga Karpal menjarakkan diri daripada Selvan dengan alasan 'kepentingan konflik' kerana kes di mahkamah masih berjalan.

Selvan juga melahirkan kebimbangannya terhadap adik-beradiknya di India dengan seorang yang berusia 24 tahun itu perlu berhenti kolej di Tamil Nadu kerana masalah kewangan.

Huan berkata, sebarang jumlah derma daripada orang ramai akan membantu ibu bapa dan adik-beradik Selvan ini.

Huan sendiri telah membelanjakan wang yang banyak bagi menjaga Selvan, termasuk menyewakan sebuah bilik untuknya di Prai dan memberinya makanan dan pakaian.

Huan juga membantu Selvan memperbaharui pas khas di Jabatan Imigresen Ipoh yang melibatkan kos RM100 sebulan.

[Baca berita penuh]