Jabatan Pelajaran Kedah akan menyiasat dakwaan Kesatuan Lembaga Pengarah Sekolah bahawa sesetengah pelajar tahun satu hingga tahun tiga sekolah Cina yang layak mendapat bantuan buku teks, belum menerima buku latihan manakala pelajar tahun tiga belum menerima buku teks.

Akhbar Sin Chew Daily , di muka 10 (Dalam negeri) memetik pengarahnya, Abdul Rahman Yub sebagai berkata, sepatutnya, pelajar yang layak, telahpun menerima buku masing-masing.

Bagaimanpun, beliau meminta sekolah yang menghadapi masalah itu supaya segera memaklumkannya kepada Jabatan Pelajaran Negeri bagi memastikan pelajar yang layak menerima bantuan buku mendapat bekalan buku teks.

Beliau berpendapat masalah kekurangan buku tidak sepatutnya berlaku di sekolah Cina di Kedah kerana bekalan buku teks dan buku latihan adalah mencukupi.

Oleh itu, katanya, kemungkinannya ianya disebabkan oleh masalah teknikal dan meminta pihak sekolah supaya memaklumkan keadaan sebenarnya kepada pihak jabatan berkenaan.

Bercakap selepas melancarkan kempen menggalakkan pelajar 685 sekolah menderma kepada tabung untuk membantu pelajar, guru, dan pekerja sekolah yang terjejas dalam bencana tsunami, Abdul Rahman berkata jabatannya belum menerima aduan daripada mana-mana pihak mengenai kekurangan buku teks.

Pengagihan minyak diesel diteruskan

Sementara itu, Nanyang Siang Pau pula melaporkan walaupun banyak stesyen minyak dan syarikat pengangkutan mengadu berlaku kekurangan bekalan diesel, tetapi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna Datuk Shafie Apdal berkata kerajaan tidak akan memansuhkan sistem pengagihan bahan bakar itu.

Katanya, Kerajaan akan menyediakan bekalan yang mencukupi mengikut keperluan sebenar setiap peniaga dan pengagihan itu akan dibuat berdasarkan kadar jualan stesen minyak pada tahun 2003.

Oleh itu, kata Shafie, syarikat minyak dan pemilik stesen minyak diberi tempoh masa seminggu untuk menghantar laporan kadar jualan mereka kepada kementeriannya.

Beliau berkata, pengagihan minyak diesel dibuat berdasarkan kepada kadar jualan 2003 bukan 2004 kerana perubahan bekalan 2004 lebih besar.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas melancarkan Projek Mempromosi Songket semalam, beliau berkata, pengagihan diesel dimulakan pada 1 Januari tahun ini bagi mengelakkan penyalahgunaan subsidi kerajaan bagi bahan tersebut.

Ramai peniaga yang mengadu langkah tersebut menyebabkan kekurangan bekalan diesel, tetapi Shafie berkata kementeriannya mendapati sesetengah peniaga membeli diesel melebihi keperluan mereka dan mensyaki mereka berbuat demikian untuk untuk mengaut keuntungan lumayan.

Menurutnya, minyak diesel yang dijual di stesyen minyak menerima subsidi dan mempunyai perbezaan 50 sen setiap liter dengan harga minyak diesel perindustrian.

Selain itu, disebabkan harga minyak diesel di negara jiran umpamanya Singapura, Filipina, dan Thailand lebih mahal berbanding harga dalam negeri, segelintir peniaga menyeludupnya untuk dijual di negara-negara tersebut.

Rawatan segera

Sementara itu, Oriental Daily News pula memetik Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Soi Lek sebagai berkata, kes demam denggi dalam negeri masih terkawal, tetapi menasihatkan mereka yang demam, sakit tulang dan muntah supaya segera menjalani ujian darah di klinik atau hospital.

Katanya, Kuala Lumpur, Selangor, dan Pulau Pinang merupakan kawasan utama ancaman demam denggi kerana mencatatkan peningkatan bilangan kes yang cepat.

Namun begitu, Chua berkata Kumpulan Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan akan melaporkan keadaan penyakit demam denggi kepada pihak media sebanyak dua kali seminggu.

"Kami tidak mahu menakutkan rakyat, tetapi mahu mengendalikan masalah itu secara berhati-hati kerana 60 orang telah maut kerana penyakit ini. Pada minggu lalu, Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, dan Pahang menjadi tempat utama ancaman penyakit demam denggi," katanya.

Beliau menjelaskan punca demam denggi adalah di kawasan perumahan bandar, kerana masalah air bertakung dan kesnya semakin bertambah sewaktu musim hujan.

Oleh itu, Chua menggalakkan badan bukan kerajaan, penduduk dan pihak-pihak lain supaya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mengadakan gotong-royong di kawasan perumahan bagi menghapuskan nyamuk Aedes.