DAP minta Najib berterus terang dakwaan guna kad kredit SRC
Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berterus-terang berhubung dakwaan bahawa beliau menggunakan kad kredit yang didaftarkan di bawah SRC International milik Kementerian Kewangan semasa lawatannya ke Eropah pada Ogos 2014.
Dakwaan itu dibuat oleh laman Sarawak Report yang melaporkan perdana menteri membelanjakan RM449,000 dari kad Visa dan RM2.8 juta dari Master Card milik firma tersebut.
"Penting bagi Perdana Menteri untuk segera menjelaskan urusniaga berkenaan untuk menunjukkan bahawa beliau tidak pernah menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi," kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.
Jika Najib tidak berbuat demikian, Pua yang juga adalah ahli parlimen Petaling Jaya Utara memberi amaran, tindakan itu akan memburukkan lagi nama perdana menteri yang sudahpun ‘tercemar’.
SRC International adalah bekas anak syarikat 1MDB yang menghadapi masalah kewangan dan sarat hutang.
Siasatan sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung wang RM42 juta dari SRC International yang dipindahkan ke akaun bank peribadi Najib.
Menurut Pua, sehingga kini, perdana menteri masih belum memberikan apa-apa penjelasan mengenai wang RM42 juta itu.
SRC International sebelum ini meminjam RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) tetapi syarikat itu mendakwa tiada dana yang disalahgunakan.
Dengan dakwaan RM3 juta dibelanjakan dari kad kredit itu, Pua berkata adalah ironi bagi Najib menasihati menterinya supaya membelanjakan peruntukan kementerian masing-masing secara berhemah berikutan keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

