Nelayan baiki sendiri bot rosak
Kerja membaiki bot nelayan di Kampung Pulau Betong dan Batu Satu, Balik Pulau yang rosak dilanda tsunami pada 26 Disember lalu sedang giat dilakukan dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh beberapa hari lagi.
Kerja membaiki bot nelayan di Kampung Pulau Betong dan Batu Satu, Balik Pulau yang rosak dilanda tsunami pada 26 Disember lalu sedang giat dilakukan dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh beberapa hari lagi.
Sudahada nelayan yang siap membaiki sendiri bot masing-masing dan telah turun ke laut untuk menangkap ikan sejak beberapa hari lalu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Pulau Betong, Mohd Farid Saad ketika dihubungi di Pulau Pinang hari ini.
Menurutnya, kira-kira 150 nelayan dari kedua-dua kampung tersebut terbabit dalam bencana tsunami.
"Nelayan membaiki sendiri kerosakan bot masing-masing. Bagaimanapun, peralatan seperti enjin, kipas dan badan bot serta alat ganti dibekalkan oleh kerajaan Negeri Pulau Pinang," katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh empat atau lima hari lagi, semua kerja-kerja membaiki bot tersebut siap dan mereka boleh ke luar ke laut untuk menangkap ikan.
Menurut Mohd Farid, bagaimanapun, bantuan kewangan untuk membeli bot baru belum diberi dan dijangka diperolehi dalam tempoh beberapa hari lagi.
Sementara Ahli Exco Kerajaan Pulau Pinang, Syed Ameruddin Datuk Syed Ahmad berkata, bantuan wang kepada nelayan tersebut belum diberikan kerana wang dari Tabung Bencana Tsunami Negara belum diperolehi.
Bantuan awal
"Bagaimanapun, saya diberitahu bahawa baucer untuk mangsa tsunami di kawasan tersebut sedang disiapkan dan mereka akan dibayar secara tunai," katanya.
Setiap nelayan yang menjadi mangsa tsunami dijanjikan akan mendapat bantuan awal RM500 setiap keluarga dari Tabung Bencana Tsunami Negara serta bantuan-bantuan lain seperti membaiki rumah, peralatan persekolahan, makanan dan bot berdasarkan saiz.
Mangsa mendakwa mereka cuma mendapat bantuan dari Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) berjumlah RM200 untuk satu keluarga.
Beliau berkata, kelewatan pembayaran bantuan kepada nelayan yang menjadi mangsa tsunami berlaku adalah disebabkan kerana sehingga ini pihaknya belum mendapat wang dari Tabung Bencana Tsunami Negara.
"Ini berlaku kerana giliran mereka belum sampai. Saya memberi jaminan, giliran mereka tiba sedikit masa lagi," katanya.
Jumaat lalu, Syed Ameruddin, ketika dihubungi berkata, semua nelayan yang menjadi mangsa tsunami di Balik Pulau akan mendapat bantuan kewangan selewat-lewatnya Ahad lalu.
Mohd Farid pula berkata, bantuan wang ringgit tidak penting sangat kerana semua mangsa diberi bantuan secukupnya dari segi tempat tinggal, makanan dan persekolahan anak-anak mereka.
"Makanan, tempat tinggal dan kelengkapan persekolahan yang menjadi keutamaan kita. Bagaimanapun, bantuan kewangan tetap diberikan seperti dijanjikan," tambahya.

