Mukhriz: Masa depan 35,000 anak yatim di Aceh membimbangkan
Pemuda Umno sedia menjadikan kanak-kanak mangsa tsunami Aceh sebagai anak angkat bagi memastikan masa depan mereka terjamin, kata Exco pergerakan itu, Datuk Mukhriz Mahathir.
Pemuda Umno sedia menjadikan kanak-kanak mangsa tsunami Aceh sebagai anak angkat bagi memastikan masa depan mereka terjamin, kata Exco pergerakan itu, Datuk Mukhriz Mahathir.
"Pemuda Umno telah menyuarakan perkara ini kepada kerajaan Indonesia tetapi kami diberitahu pihak berkuasa negara tersebut tidak membenarkan anak-anak yatim dibawa keluar," katanya.
Beliau berkata, Pemuda Umno memandang berat tentang kira-kira 35,000 anak yatim Aceh yang kini menghadapi masa depan tidak menentu kerana ibu bapa mereka terkorban dalam bencana tsunami pada 26 Disember lalu.
Walaupun begitu, katanya, Pemuda Umno sedia membantu mereka dalam pelbagai sudut untuk memastikan masa depan mereka terjamin.
Berikutan itu katanya, Pemuda Umno menggesa supaya proses pembangunan semula Aceh perlu memberi penekanan kepada pendidikan kepada kanak-kanak tersebut.
Sementara itu, Pemuda Umno sedia menghantar keperluan makanan halal kepada mangsa bencana tsunami di Thailand dan Sri Lanka sepertimana yang dibuat di Aceh sekarang ini.
Bagaimanapun, katanya, keperluan untuk berbuat demikian belum mendesak dan Pemuda Umno belum menerima sebarang permintaan dari keluarga mangsa tsunami untuk mendapatkan makanan halal dari Malaysia.
"Jika ada permintaan kita sedia menghantar keperluan makanan halal kepada penduduk Islam di Thailand dan Sri Lanka," katanya ketika ditemui di Kota Kuala Muda, Kedah baru-baru ini.
Peruntukan kewangan
Beliau berkata, Pemuda Umno mempunyai sumber yang cukup untuk menghantar bekalan makanan kepada umat Islam di kedua-dua negara sepertimana yang dilakukan untuk penduduk Aceh, Indonesia.
"Meskipun wang yang kita ada dalam lingkungan RM1 juta tetapi jika perlu, kami akan memohon peruntukan kewangan daripada kerajaan," katanya lagi.
Sebelum ini, Pemuda Umno menghantar sukarelawan dan makanan serta ubat-ubatan kepada mangsa tsunami di Aceh di bawah panji-panji Smart Malaysia sejak beberapa hari lalu.
Mukhriz berkata, bagaimanapun, sukarelawan tersebut menghadapi masalah untuk menghantar makanan dan keperluan lain kepada mangsa kerana kesesakan yang yang teruk di Medan yang menjadi pengkalan utama panghantaran bantuan kepada mangsa di Aceh.
"Banyak bantuan yang dihantar tersadai ataupun lambat sampai kepada mangsa di Aceh kerana masalah tersebut," katanya sambil menambah bekalan juga dihantar menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kapal KD Mahawangsa milik Tentera Laut.
Kata Mukhriz, Pemuda Umno akan menghantar lebih banyak sukarelawan ke Aceh bagi membantu mangsa bencana tsunami di kawasan tersebut.
Beliau berkata, ramai sukarelawan yang menawarkan diri untuk ke Aceh tetapi keutamaan diberikan kepada mereka yang mempunyai pengetahuan dalam bidang perubatan serta berpengalaman dalam kerja-kerja seperti itu.
Katanya, ini kerana Aceh dilanda bencana yang besar dan hanya mereka yang mempunyai pengalam luas sahaja, yang boleh menjalankan tugas dengan baik.

