Krisis Umno di Kedah dicipta pada masa yang tidak sepatutnya atau masa yang tidak sesuai untuk BN Sarawak - yang sering disebut-sebut sebagai kubu kuat BN - bagi menghadapi pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin berkata beliau menerima mesej daripada seorang penyokong kuat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang berkata "masa yang salah" berhubung usaha bersepadu untuk menggulingkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Zainuddin berkata mesej itu menyedarkan dirinya bagaimana kemelut Umno di Kedah memang berhubung kait dengan politik di Sarawak yang selama ini dianggap sebagai 'simpanan tetap' BN.

“Apatah lagi dengan orang yang gila nak jadi menteri besar dan juga Najib yang hendak selamat sebagai PM.

“Tentunya (ini) tidak mengambil kira perasaan orang Sarawak dan juga KM Sarawak dan kesannya kepada Pilihanraya Negeri Sarawak kelak,” kata Zainuddin dalam kemas-kini di blog hari ini.

Beliau seterusnya menceritakan pengalaman terbarunya di bandar Kucing apabila ada orang berteriak dengan kuat kepadanya yang ingin tahu bila Najib akan berundur.

“Sebenarnya apa yang berlaku adalah proses sama yang berlaku kepada pemimpin-pemimpin negara yang hendak menyelamat diri pada saat-saat terakhir.

“Najib dalam keadaan panik, hilang perhetongan dan kewarasan walaupun nampak tenang dengan denial sydrom nya tetapi tindaknya adalah menampakan kepada rakyat dirinya yang sebenar,” katanya.

Najib, menurut Zainuddin sebenarnya terlupa kepentingan Adenan dan Sarawak sebagai ‘simpanan tetap’ BN kerana percaya Umno sahaja yang boleh selamatkannya.

“Dia (Najib) lupa Sarawak sebagai ‘fix deposit’ dan dia ingat hanya Umno boleh selamatkannya.

“Salam hormat dan simpati saya kepada Adenan Satem,” katanya.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini memulakan perang terbuka terhadap Mukhriz dengan mengisytiharkan bahawa pemimpin Umno di negeri itu telah 'hilang keyakinan' dengan kepimpinan menteri besar Kedah.

Beliau juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk campur tangan dan menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar.

Mukhriz menjadi sasaran berikutan percubaan terbuka bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menumbangkan Najib sebagai perdana menteri.

[Baca berita penuh]