Lebih 100 pesawah di Kampung Pida di Kodiang, kira-kira 46km dari Alor Setar, memohon agar kerajaan mengurangkan kadar pemotongan pemutuan padi yang melebihi 20 peratus.

Pesawah yang ditemui mendakwa pemotongan terhadap padi mereka antara 20 hingga 25 peratus adalah tidak wajar memandangkan sebelum ini hasil padi hanya dipotong antara 16 hingga 18 peratus sahaja.

Ahmad Mat Hassan, 58, mendakwa pemotongan pemutuan padi berlaku di semua kilang padi termasuk di kilang Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) hingga menyebabkan pendapatan mereka terjejas.

"Kenaikan subsidi padi sebanyak RM0.05 bagi setiap sekilogram tidak berbaloi selepas potongan pemutuan padi terlalu banyak. Tahun lepas, padi dituai ketika musim hujan dan hanya ditolak antara 16 hingga 18 peratus sahaja.

"Pihak kementerian berkaitan perlu selaraskan jumlah potongan pemutuan agar kenaikan harga subsidi dapat dinikmati pesawah," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Ahmad, yang mewakili pesawah di kawasan itu, berharap kerajaan mengkaji semula kadar pemotongan pemutuan padi supaya tidak membebankan pesawah yang hanya bergantung kepada pendapatan hasil padi.

Abdul Wahab Daud, 55, berkata sebelum ini pendapatan hasil jualan padi beliau adalah sekitar RM1,200 setiap tan dan mencecah pendapatan sehingga RM25,000 bagi musim itu.

Katanya pemotongan pemutuan yang begitu besar itu menyebabkan pendapatannya merosot ditambah dengan kos baja dan racun yang semakin meningkat berbanding sebelum ini.

"Kami harap pihak berkaitan turun padang dan lihat keadaan kami malah mereka perlu pantau proses pemotongan pemutuan di semua kilang termasuk kilang BERNAS," katanya.

Sementara itu, Hazri Hizan Harun, 38, berharap kerajaan mengekalkan pemotongan pemutuan kurang daripada 20 peratus agar pesawah tidak mengalami kerugian besar bagi membantu meningkatkan kualiti padi yang baik.

- Bernama