Pemilik restoran Me’nate Steak Hub kesal dengan tindakan pihak yang menyebarkan berita restoran itu menghidangkan makan malam kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bernilai hampir RM20,000 untuk daging wagyu matsusaka .
Menerusi kemas kini Facebooknya, pemilik restoran tersebut, Mustafa Othman berkata beliau sedang mendapatkan nasihat mengenai kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang telah menyebarkan khabar angin tersebut.
“Me'nate Steak Hub menafikan laporan media sosial yang menunjukkan tanda harga daging yang kononnya di sediakan di Seri Perdana baru-baru ini.
“Setelah kami menyemak tanda harga tersebut, (didapati ia) adalah palsu dan tidak terdapat di dalam sistem inventori kami. Tanda harga serta nota berikutnya semacam dirancang untuk dipamerkan itu tidak sama dengan tanda harga standard yang digunakan oleh Me'nate Steak Hub di semua outlet kami.
“Ditambah pula semua tanda harga kami mempunyai barcoding (kod bar) yang tersendiri berbeza dengan apa yang telah diviralkan,” jelas Mustafa.
Terdahulu, pihak tertentu menyebarkan khabar dalam laman Facebook mendakwa perdana menteri dihidangkan dengan makan malam Me’nate Steak Hub di Seri Perdana pada harga RM19,284 untuk satu makan malam.
Mengulas mengenai gambar Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor pada majlis makan malam yang dikatakan itu, Me'nate berkata, kombinasi makanan yang didakwa itu "tidak masuk akal".
“Hidangan yang dipamerkan juga tidak masuk akal. Jika makan steak dan matsusaka mana boleh ada nasi dan lauk-pauk lain.
"Gambar tukang masak juga bukan chef dari Me'nate. Kami berasa amat amat dukacita dengan usaha pihak-pihak yang berkepentingan politik untuk mengheret kami ke dalam kancah politik fitnah yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.
