20 mangsa bencana tsunami dipecat majikan
Kementerian Sumber Manusia menerima laporan mengenai 20 pekerja yang menjadi mangsa bencana tsunami telah dipecat oleh majikan mereka kerana gagal melaporkan diri di tempat kerja.
Kementerian Sumber Manusia menerima laporan mengenai 20 pekerja yang menjadi mangsa bencana tsunami telah dipecat oleh majikan mereka kerana gagal melaporkan diri di tempat kerja.
Dalam laporannya di muka A4 (Nasional), Oriental Daily News memetik Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr Fong Chan Onn sebagai berkata laporan itu diterima dari Pulau Pinang dan Kedah di mana kira-kira empat hingga lima majikan didakwa telah memecat sesetengah pekerja terbabit kerana tidak dapat melaporkan diri di pejabat akibat kejadian tsunami.
Menurutnya, kira-kira 20 pekerja terlibat tidak dapat kembali ke tempat bekerja mungkin disebabkan mereka kehilangan tempat tinggal atau ahli keluarga.
Bercakap kepada media semalam, Fong berkata, beliau telah menghantar pegawainya untuk menjalankan siasatan dan cuba membantu pekerja tersebut.
Sehubungan itu, beliau menggesa majikan terbabit supaya berperi kemanusian dengan meneruskan perkhidmatan pekerja terbabit, di samping memberi ruang dan masa yang mencukupi kepada mereka untuk kembali menyesuaikan diri dengan keadaan asal.
"Saya akan 'menasihati' majikan berkenaaan supaya bekerjasama. Jika mereka tidak menerima nasihat, susah untuk kami (Kementerian Sumber Manusia) menghulurkan bantuan kepada mereka semasa mereka memerlukannya," ujarnya.
Beliau tidak menyatakan apakah bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap majikan tersebut yang terbabit dengan perniagaan restoran dan di sektor perindustrian.
Ambil langkah pencegahan
Kabinet menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin menjadi sukarelawan di Aceh, Indonesia supaya mengambil langkah pencegahan yang mencukupi bagi mengelak dihinggapi penyakit atau membawa pulang penyakit-berjangkit.
Dalam laporannya di muka A2, akhbar Oriental Daily News memetik Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek sebagai berkata, Kabinet yang bermesyuarat semalam, juga menasihatkan rakyat supaya mengelak mengunjungi Aceh atau negara yang dilanda bencana tsunami bagi mencegah penyakit di sana dibawa pulang ke negara ini.
"Kami tidak menggalakkan rakyat pergi ke Aceh, Sri lanka, dan negara lain yang terjejas dengan bencana itu. Kami juga tidak menggalakkan rakyat untuk berada di Aceh melebihi 10 hari," ujarnya.
Oleh itu, katanya, rakyat tidak sepatutnya menganggap kunjungan ke Aceh sebagai lawatan yang biasa bagi mengelakkan sebarang penyakit berjangkit.
Bercakap dalam sidang akhbar selepas menyerahkan sumbangan RM 65,350 kepada tabung bencana akhbar anjuran akhbar New Straits Times semalam, Chua berkata sukarelawan Malaysia perlu membuat persiapan mencukupi, seperti menjalani ujian darah sebelum berlepas ke sana, untuk dibandingkan dengan laporan ujian darah mereka ketika pulang kelak.
Beliau berkata, Sukarelawan juga tidak boleh pergi ke mana-mana tempat sesuka hati, sebaliknya mereka harus menjalankan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.
Tiada jamuan makan ikan
Sementera itu, Sin Chew Daily pula menyiarkan di muka 14 (Dalam negeri) berita mengenai Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna, Hoo Seong Chang yang berkata kementeriannya tidak akan mengadakan jamuan makan ikan, tetapi mengalakkan orang ramai berbuat demikian.
Beliau berkata, kementeriannya telah menyatakan beberapa kali bahawa ikan laut selamat untuk dimakan dan juga meminta orang ramai supaya jangan bimbang memakannya.
Ada kalangan pengguna yang sangsi untu memakan ikan laut berikutan bencana tsunami, menyebabkan jualan hasil laut telah merosot.
Beliau berkata, pihaknya juga tidak membantah penganjuran jamuan makan ikan oleh peniaga ikan Pulau Pinang, tetapi pihak kementerian berasa tiada keperluan baginya untuk berbuat demikian.
Di samping itu, Menteri berkenaan, Datuk Shafie Apdal menegaskan kementeriannya akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang mengambil kesempatan untu mengaut keuntungan daripada kejadian tsunami.
Menurut beberapa sumber, sesetengah peniaga meningkat harga alat ganti bot sebanyak 300 peratus untuk mendapatkan keuntungan lumayan.
Shafie berkata kementeriannya tidak akan melepaskan peniaga tersebut dengan mudah.
Namun begitu, beliau menyatakan kementeriannya masih belum menerima laporan berkenaan, tetapi jika ada peniaga yang mengambil kesempatan itu, tindakan pasti akan diambil.

