Harapan: Buat undi tak percaya jika nak tukar MB
Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah disaran mengadakan undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir sekiranya mahu menggantikan menteri besar itu.
"DUN Kedah sepatutnya mengadakan undi tak percaya kepada MB Kedah dan itu adalah pendirian kita di Pakatan Harapan," kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.
Anggota Parlimen Permatang Pauh itu berkata demikian dalam sidang media di parlimen sebentar tadi.
Timbalan Pengerusi Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah minggu lalu dilaporkan memulakan perang terbuka terhadap Mukhriz dengan mengisytiharkan pemimpin Umno negeri itu hilang keyakinan dengan kepimpinan menteri besar Kedah.
Bashah juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak campur tangan dan menurunkan Mukhriz sebagai menteri besar.
Ditanya sama ada Pakatan Harapan akan menyokong sebarang tindakan Mukhriz, Wan Azizah berkata biarlah mereka bergaduh sesama sendiri.
"Biarlah mereka sama-sama gaduh," kata Wan Azizah ringkas.
Sementara itu, Bashah ketika ditemui Malaysiakini enggan mengulas saranan Wan Azizah.
"Tak ada komen. Terpulang kepada pembangkang," kata Ahmad Bashah ringkas.

