Malaysia dan Singapura hari ini mengumumkan penyelesaian terhadap pertikaian berhubung kerja-kerja penambakan laut oleh republik itu di sempadan perairan kedua-dua negara.

Melalui kompromi tersebut, Singapura dibenarkan meneruskan kerja penambakan dan pada yang sama, bekerjasama dengan Malaysia untuk menjamin keselamatan dan melindungi persekitaran Selat Melaka, yang menjadi laluan kapal yang sibuk.

"Hasil positif mesyuarat antara perwakilan Malaysia dan Singapura itu mencerminkan kerjasama dan semangat muhibah yang wujud antara kedua-dua pihak dan kerajaan masing-masing," demikian menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan itu menyifatkan kompromi tersebut sebagai satu petanda baik ke arah memperkukuhkan lagi hubungan baik antara dua negara jiran yang bersahabat ini.

Hubungan bertambah baik dan pelaburan antara kedua negara juga semakin meningkat selepas pemimpin baru Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Lee Hsien Loong memegang tampuk pemerintahan negara masing-masing.

Dalam kenyataan bersama itu, kedua-dua kerajaan berkata kedua-dua negara telah menerima perakuan sekumpulan penasihat pakar dan bersetuju untuk menjadikannya sebagai asas untuk mencari penyelesaikan yang dapat diterima dan memberi faedah kepada kedua-dua pihak.

Pada tahun 2003, Malaysia mempertikaikan kerja penambakan itu kerana mendakwa ia mengancam kawasan persekitarannya dan menganggu laluan kapal di Selat Johor.

Malaysia juga telah meminta Tribunal Antarabangsa mengenai Undang-undang Laut supaya mengarah Singapura memberhentikannya.

Kerja penambakan itu termasuk di Pulau Tekong, sebuah kepulauan yang digunakan oleh tentera Singapura sebagai tempat latihan yang terletak berhampiran Johor.

Tribunal yang berpejabat di Hamburg itu membenarkan kerja penambakan itu diteruskan dan meminta kedua-dua belah pihak supaya melantik kumpulan pakar bebas untuk mengkaji perkara tersebut.

Mereka telah mengemukakan laporan itu tahun lalu di mana perakuan-perakuan itu telah diterima oleh kedua-dua negara.

Pada 9 Januari lalu, para perunding bersetuju supaya draf teks perjanjian penyelesaian itu dikemukakan kepada kedua-dua kerajaan untuk kelulusan rasmi dan menandatanganinya pada masa dan tempat yang akan ditetapkan kelak.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Syed Hamid Albar memberitah akhbar Straits Times Singapore bahawa beliau "gembira kerana pertikaian tersebut telah dapat diselesaikan, dan kini kita boleh beralih untuk menyelesaikan isu-isu lain pula."

"Kabinet telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut. Ia mencerminkan hubungan baik dan kerjasama antara kedua-dua negara," katanya.

Isu-isu lain termasuk harga bekalan air mentah kepada Singapura, penggunaan ruang udara Malaysia, tanah milik KTM di republik itu, dan cadangan pembinaan jambatan baru yang menghubungkan kedua-dua negara.

Kedua-dua negara bersetuju bahawa Selat Melaka 'merupakan perairan yang dikongsi bersama' dan masing-masing 'mempunyai kepentingan bersama untuk berkerjasama bagi menjaga keselamatan laluan laut di situ".

Kedua-dua pihak juga "mengakui bahawa mereka mempunyai kepentingan bersama untuk bekerjasama melindungi persekitaran" dan di sekitar kawasan penambakan itu, dan bersetuju bertukar-tukar maklumat maritim dan persekitarannya berhubung dengan pelaksanaan projek tersebut.

- AFP