Sebuah pusat terapi mendakwa pihak polis menangkap seramai 16 tukang urut mereka yang berwarganegara Thailand tanpa memberi alasan yang munasabah.

Pengarah pusat terapi HealthLand Wellness Centre Heng Teik Kung mendakwa, pihaknya juga tidak diberi alasan yang kukuh daripada pihak polis berhubung penangkapan pekerjanya memandangkan kesemua mereka mempunyai permit kerja yang sah.

Selain itu Heng mendakwa, dalam kejadian yang belaku Ahad lalu, seramai enam anggota polis daripada Balai Polis Travers memasuki premisnya di Taman Desa kira-kira jam 9 malam.

Katanya lagi, tiada rundingan yang dilakukan bersama pihak atasan pusat terapi terbabit sebelum tangkapan dilakukan.

"Mereka cakap kepada ahli terapi kami supaya tidak membuat panggilan telefon. Mereka membuat keputusan untuk menangkap mereka tanpa ada rundingan," katanya kepada pemberita di luar Balai Polis Travers malam tadi.

Ditanya sama ada Teik berada di tempat kejadian semasa tangkapan dibuat, beliau berkata:

"Saya tidak berada di sana. Kami juga tidak dapat peluang untuk menjawab segala persoalan (dari pihak polis) dan mereka memutuskan mengambil mereka (pekerja). Saya rasa perkara ini tidak profesional," tambahnya lagi.

Menurut Teik, kejadian itu merupakan kali kedua yang berlaku di premisnya pada bulan ini. Jelasnya, kejadian pertama berlaku di pusat terapinya di Taman Connaught tiga minggu lalu.

Pusat terapi berkenaan mempunyai 11 cawangan di sekitar Lembah Klang. Ketika kejadian itu juga, beliau turut tidak dimaklumkan apakah tujuan premisnya diserbu.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi balai berkenaan.