Selamat datang si penjajah moden, kata Nik Abduh
Keputusan dewan rakyat meluluskan perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) semalam sudah dijangka sejak awal lagi, kata Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
Katanya, kerajaan hanya berhujah dari aspek ekonomi dan perdagangan, tanpa memberi perhatian kepada aspek geopolitik Amerika Syarikat (AS) dan China, serta pengaruh politik AS di sebalik perjanjian tersebut.
"Selamat datang si "penjajah" moden, selamat tinggal kebebasan dan jati diri," katanya pada kenyataan media.
"Namun, kerajaan seolah-olah memekakkan telinga dengan segala justifikasi dan hujah yang dibentangkan," katanya.
Semalam dewan rakyat meluluskan usul mengenai TPPA melalui proses undian secara blok, dengan 127 ahli parlimen BN menyokong dan 84 yang lain menolak.
Sepanjang tempoh sidang khas dua hari sekurang-kurangnya 30 ahli parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan.
Dalam ucapan penggulungannya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata TPPA antara lain tidak akan memberi kesan kepada sektor industri kecil dan sederhana (IKS).

