Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syed Ali: Hina pemimpin, kita patut malu
Diterbitkan:  Jan 28, 2016 5:42 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Seorang pemimpin Umno Wilayah Persekutuan menyelar kritikan pembangkang terhadap institusi peguam negara dan perdana menteri susulan pembersihan Datuk Seri Najib Razak daripada beberapa dakwaan skandal semalam.

Mengulas isu derma RM2.6 bilion dan anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd, Datuk Seri Syed Ali Abbas Alhabshee berkata media sosial digunakan untuk mengaibkan institusi itu.

Malah, kata ketua Umno Cheras itu, pertikaian itu dibuat secara tidak beretika dan melanggar adab, termasuk menghina pemimpin.

“Sepatutnya kita berasa malu dengan negara luar yang amat mengagumi keharmonian dan kerukunan hidup rakyat negara ini.

“Sebaliknya masih terdapat sesetengah rakyat negara ini yang tidak menghormati institusi perdana menteri dan perundangan negara,” katanya.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali semalam berkata tiada kesalahan dilakukan Datuk Seri Najib Razak dan mengarahkan kertas-kertas siasatan ditutup.

Dalam kes derma RM2.6 bilion, Apandi berkata tiada keterangan menunjukkan dana diterima Najib suatu bentuk suapan yang diberikan secara rasuah.

Dalam kes SRC pula, Apandi berkata tiada keterangan menunjukkan Najib menyalah guna kedudukan dalam mesyuarat kabinet yang meluluskan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kepada SRC.

Apandi juga berkata tiada keterangan yang menunjukkan Najib tahu atau dimaklumkan terhadap kemasukan wang dari akaun SRC ke akaun-akaun beliau.

Lihat Komen
ADS