PAS menolak kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menguntungkan rakyat, termasuk mengekalkan jawatan penjawat awam.

Ketua pemudanya Nik Abduh Nik Abdul Aziz ( gambar ) berkata kenyataan Najib hari ini hanyalah alasan untuk mengurangkan kemarahan rakyat.

"Perdana Menteri tidak ada jawapan lain. Kalau dia (Najib) kata isu GST ini berkat maknanya harga minyak kita jatuh itu berkatlah.

"Perdana Menteri tidak boleh jadikan alasan bahawa nasib baik dia mengadakan GST.

“Bagaimana perdana menteri nak kata perkara ini (GST) berkat sedangkan dari sudut agama perkara ini jelas, bahawa mengambil cukai daripada rakyat melibatkan orang miskin adalah salah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab di majlis minum petang bersama media anjuran Pemuda PAS di sebuah restoran di Kuala Lumpur hari ini.

Najib hari ini antaranya mengingatkan 1.6 juta kakitangan awam bahawa mereka masih mengekalkan jawatan masing-masing kerana adanya GST .

Katanya, GST bukan untuk menyusahkan rakyat, tetapi penyelamat kepada rakyat Malaysia walaupun ekonomi negara terjejas dengan kejatuhan harga minyak.

Mengulas lanjut, Nik Abduh yang juga anggota parlimen Pasir Mas itu berkata PAS akan memastikan kerajaan pimpinan BN tumbang pada pilihan raya adakan datang kerana pelaksanaan GST.

"Kita (PAS) tetap tolak GST, kita akan pastikan rakyat akan menolak BN kerana GST," katanya.