160 penunjuk perasaan Burma ditangkap
Kira-kira 160 pendatang Burma dari suku kaum Chin, termasuk beberapa orang wanita, ditahan polis pagi ini kerana mengadakan demonstrasi di luar Kedutaan Burma di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Kira-kira 160 pendatang Burma dari suku kaum Chin, termasuk beberapa orang wanita, ditahan polis pagi ini kerana mengadakan demonstrasi di luar Kedutaan Burma di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Mereka yang berhimpun di situ, sebagai membantah dakwaan penindasan kerajaan Burma terhadap rakyat beragama Kristian di negara itu, ditahan selepas gagal mematuhi arahan polis supaya bersurai.
Menyedari polis akan bertindak terhadap mereka, kumpulan tersebut berkumpul untuk berdoa beramai-ramai. Sejurus kemudian kira-kira 30 anggota polis yang diketuai ASP Mohd Asri Mohd Yunus, tiba di situ.
Beberapa pendatang terbabit cuba bergelut tetapi yang lainya dibawa ke atas trak polis tanpa sebarang masalah.
Sebelum ini, ASP Mohd Asri memberi tempoh selama 15 minit kepada mereka untuk bersurai. Beliau mengingatkan mereka bahawa tindakan tersebut melanggar undang-undang Malaysia dan mereka boleh ditahankan kerana mengadakan perhimpunan haram.
"Anda mesti menghormati undang-undang negara kami. Jika lebih daripada tiga
orang berkumpul, ia adalah perhimpunan haram. Ini kawasan awam dan anda mengganggu keamanan di sini. Jika anda tidak bersurai, kami akan menyuraikan anda secara paksa atau menahan kamu," katanya dalam bahasa Inggeris.
Pada mulanya, ASP Mohd Asri meminta bantuan seorang pegawai Kedutaan Burma yang dikenali sebagai Zaw, yang berada di dalam pagar bangunan kedutaan itu untuk menterjemahkan arahannya kepada kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, pegawai itu berkata semua penunjuk perasaan tersebut 'berpendidikan' dan enggan terbabit dalam hal tersebut.
Penindasan beragama
Mereka juga gagal memujuk ASP Mohd Asri supaya membenarkan mereka mengadakan bantahan itu sepanjang hari. Sebaliknya, mereka pula didakwa mengganggu kawasan kediaman di situ.
Tidak dipastikan sama ada mereka yang ditahan itu terdiri daripada pelarian Burma. Mereka yang bukan pelarian boleh dihantar pulang ke negara asal mereka.
Pendatang terbabit tiba di kawasan kedutaan tersebut pada jam 10.50 pagi dengan menaiki tiga bas. Mereka kemudiannya mula membantah terhadap pelanggaran hak asasi manusia di negara mereka.
Dengan memakai salib kertas berwarna merah dan merah muda pada baju-T mereka, kumpulan tersebut menggesa dalam bahasa Inggeris dan Burma supaya ditamatkan penindasan beragama di negara mereka dan juga di negara-negara lain.
Mereka memegang sepanduk yang bertulis "Perhatian Kerajaan Malaysia terhadap penindasan agama dan pelanggaran hak asasi manusia di Myanmar amat diperlukan", dan "Kerajaan Myanmar tidak mempunyai belas kasihan terhadap mangsa tsunami".
Binaan salib diruntuh
Jurucakap mereka yang juga pemimpin Persatuan Belia Kristian Chin, Salai San Aung memberitahu pemberita, mereka berkumpul kerana membantah tindakan pemimpin tentara Burma merobohkan binaan salib konkrit di Matupi (di wilayah Chin di Selatan Burma) pada 3 Januari lalu.
"Kami telah ditindas. Salib yang merupakan simbol agama Kristian telah dimusnahkan oleh pihak junta. Kami lari dari hutan Burma, tetapi kini terpaksa tinggal di hutan Malaysia," katanya sambil menggesa campurtangan masyarakat antarabangsa bagi menamatkan penganiayaan terhadap rakyat Burma.
"Kami tidak boleh pulang ke negara kami. Kami tidak boleh berbuat apa-apa. Kami sekarang menjadi pelarian di Malaysia," katanya.
Salai bagaimanapun 'hilang' sejurus sebelum polis mula bertindak menahan pendatang Burma tersebut.
Regim pemerintah tentera Burma menjadi sasaran tuduhan penyalahgunaan kuasa politik dan melanggar hak asasi manusia sejak ia mengambil alih kuasa di negara itu pada 1962.
Antara kejadian yang paling dikutuk oleh masyarakat antarabangsa ialah pembunuhan penunjuk perasaan pro-demokrasi pada tahun 1988 dan tahanan berterusan pejuang demokrasi Burma, Aung San Suu Kyi.

